Ramai masih ‘stress’, Doctor Anywhere tawar khidmat


Platform penjagaan kesihatan digital Doctor Anywhere menyasarkan untuk membantu lebih 20,000 rakyat Malaysia yang terkesan melalui inisiatif telekaunseling percumanya.
Ia berharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meneroka kuasa transformatif perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses dan berpatutan melalui inisiatif ‘Memperkasakan Minda untuk Masa Hadapan’ di mana mereka boleh menebus sesi kaunseling percuma bersama pakar-pakar kaunseling dan ahli psikologi klinikal.
Pengguna perlu memuat naik aplikasi Doctor Anywhere terlebih dahulu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merasmikan Doctor Anywhere menggesa semua rakyat Malaysia termasuk golongan belia untuk berani mendapatkan sokongan kesihatan mental.
“Belia negara kita tahu kehendak dan keperluan mereka, jadi apabila mereka menyatakan masalah yang mereka hadapi, kita perlu tahu bahawa ia tidak mencukupi untuk memberikan mereka sokongan sekali sahaja.
“Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan berdedikasi untuk memupuk kesihatan mental mereka dan memperkasakan mereka dengan alat untuk penjagaan diri dan daya tahan, dan kami juga menyokong inisiatif-inisiatif platform seperti Doctor Anywhere untuk membantu menghilangkan stigma daripada proses pemulihan kesihatan mental,” katanya.


Pengurus Besar Doctor Anywhere Malaysia Edward Ling berkata syarikat itu komited untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan bantuan, berkongsi kebimbangan berikutan beberapa laporan dan statistik terkini mengenai keadaan kesihatan mental.
“Dengan menawarkan temu janji tajaan dengan pakar-pakar kaunseling dan ahli psikologi klinikal, kami mahu menghapuskan halangan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan sokongan mental yang mereka perlukan.
“Ini merupakan satu peristiwa penting apabila sektor swasta melabur dan menaja orang awam Malaysia bagi mengutamakan kesejahteraan mental mereka. Saya menggesa orang ramai untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan ini, dan bersama-sama, mari kita memupuk mentaliti negara yang lebih kuat dan bahagia,” katanya.
Edward berkata kos sara hidup yang lebih tinggi telah dilaporkan sebagai antara beberapa sebab mengapa rakyat Malaysia mungkin berasa tertekan dan gelisah, terutamanya di kalangan mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Realiti yang menyedihkan itu pertama kali didedahkan oleh *Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa semasa sesi Parlimen pada bulan Mac selepas kementerian tersebut menjalankan pemeriksaan kesihatan mental ke atas 336,900 individu.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa juga telah mengeluarkan laporan Trend Pekerjaan Global untuk Belia 2022 yang menyatakan bahawa golongan mudacterjejas oleh kesan ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19. Tambahan pula, kehilangan pekerjaan, kesukaran untuk peralihan dalam pasaran buruh dan tahap ketidakaktifan yang lebih tinggi telah menyebabkan kebimbangan dan tekanan mental yang semakin meningkat di kalangan golongan muda.
Laluan ke arah kesihatan mental yang lebih baik bermula dengan penilaian mudah yang disahkan secara saintifik melalui laman web Mind Strength (https://mindstrength.fwd.com.my/). Selepas melengkapkan penilaian, pengguna boleh menebus kod baucar melalui e-mel. Kemudian, mereka boleh memuat turun aplikasi Doctor Anywhere untuk mendaftar dan log masuk.
Pilih ‘Kesihatan Mental’ untuk memilih kaunselor atau ahli psikologi klinikal untuk menetapkan temu janji dan sesi tersebut akan bermula melalui aplikasi. Semua panggilan adalah disulitkan secara hujung ke hujung untuk memastikan maklumat pengguna selamat.
Pemegang polisi FWD boleh menebus 10 sesi percuma manakala bukan pemegang polisi boleh menebus 5 sesi.