10 Nota Penting Dari WWDC2023

Nama Apple sinonim dengan produk pengguna dan setiap kali ia mengadakan acara, pasti ramai yang ternanti-nanti apa pengumuman terbaru daripada syarikat pengeluar iPhone dan MacBook ini. Saban tahun, Apple Worldwide Developer Conference menjadi acara yang paling ditunggu dan untuk edisi 2023, memang banyak perkembangan penting telah dikongsi.

TheSkop memilih 10 maklumat ini untuk memenuhi senarai mesti tahu anda:

  1. Saiz MacBook Air cecah 15-inci
    Kalau dulu pereka produk Apple fokus terhadap menipis dan mengecilkan saiz komputer ribanya, kali ini MacBook Air tampil kacak dalam tubuh sebesar 15-inci. Namun tetap jua Apple menggelarkannya ‘komputer riba 15-inci ternipis'(https://www.apple.com/my/newsroom/2023/06/apple-introduces-the-15-inch-macbook-air/). Paparan Liquid Retina 15.3-inci, sistem bunyi 6 pembesar suara dengan sokongan Spatial Audio serta kamera FaceTime HD 1080p menjadi ciri fizikal utama produk ini manakala di dalamnya ada pemproses M2 dan bateri 18 jam. Apple juga meletakkan harga RM6,199 sebagai harga permulaan produk MacOS ini.
  1. M2 Ultra bawa pecutan baru dalam pemprosesan
    Cip yang pengguna suka pastilah yang paling efisien dan laju, maka inilah yang dihasilkan oleh Apple dalam SoC terbaharunya, M2 Ultra. Cip terpantas Apple ini dibina dengan 134 bilion transistor beserta teknologi UltraFusion yang menyambung dua cip M2 Max untuk menggandakan prestasi. Bakal tampil bersama Mac Pro baharu, M2 Max menawarkan CPU yang efisien, malah GPUnya juga lebih besar dan 30 peratus lebih pantas. Ia dilabel Apple sebagai cip paling berkuasa yang pernah dicipta untuk segmen ini untuk memacu prestasi aplikasi yang memerlukan video dan pembelajaran mesin.
  1. Kesihatan mental termasuk dalam radar Apple
    Ciri kesihatan yang diperkenalkan Apple kali ini mencakupi iOS 17, iPadOS 17 dan watchOS 10. Ia didatangkan bersama peralatan yang lebih inovatif untuk merangkumi pengalaman merentasi platform. Ciri terbaru dalam segmen ini membolehkan pengguna mengelog masuk emosi dan mood harian mereka, agar dapat memperolehi coraknya. Ini disambung dengan akses ke peralatan untuk menilai dan sumber-sumber ang boleh membantu. Selain itu terdapat ciri yang membantu memantau kesihatan penglihatan dan mengurangkan risiko mendapat myopia. (https://www.apple.com/my/newsroom/2023/06/apple-provides-powerful-insights-into-new-areas-of-health/)
  1. Kemas kini keselamatan bertepatan dengan keperluan semasa
    Ciri keselamatan diperhebatkan dan ini boleh dikira sebagai kemas kini paling penting untuk pengguna dewasa ini. Safari Private Browsing, Communication Safety, Lockdown Mode dan privasi dalam aplikasi merupakan antara kemas kini yang diumumkan Apple kali ini. Kemas kini yang dilancar kali ini memastikan data pengguna sentiasa dilindungi. Antara ciri terpenting ialah pengguna boleh menggunakan fungsi ‘picker’ di Photos untuk menyembunyikan gambar terpilih serta amaran untuk kanak-kanak apabila terdapat foto yang tidak sesuai terkandung dalam Messages dan fail yang diterima menerusi AirDrop.
  1. iOS 17 bakal serikan iPhone
    Membawa kemas kini penting untuk aplikasi komunikasi, iOS 17 menyegarkan aplikasi Phone, FaceTime dan Messages pada peranti iPhone. Ia juga memudahkan penggunaan AirDrop untuk berkongsi fail dan NameDrop untuk mengumpulkan maklumat kenalan. Selain itu, iOS 17 juga membawa fungsi Autocorrect dan Dictation yang lebih pintar. Bukan sahaja ejaan malah tatabahasa juga boleh diperbetulkan dengan mudah. Namun yang paling menarik perhatian media ialah kemasan UI yang membawa lebih banyak maklumat di paparan semasa iPhone dicaj.
  1. Mac Studio lebih kompak lagi bergaya
    Walaupun bakal duduk di atas meja, Mac Pro tidak diketepikan oleh Apple dari sudut pembaharuan fizikal dan ciri pemprosesan. Segmen produktiviti masih dikenal pasti oleh syarikat ini sebagai bidang yang harus sentiasa dikemas kini. Buktinya Mac Pro baharu menggandingkan M2 Ultra, cip terpantas Apple dan ciri PCIe yang lebih tinggi dengan 6 slot gen 4. (https://www.apple.com/my/newsroom/2023/06/apple-unveils-new-mac-studio-and-brings-apple-silicon-to-mac-pro/). Ia juga didatangkan bersama 192GB memori selain HDMI lebar jalur (bandwith) tinggi untuk menyokong resolusi 8K, 240Hz. Ia juga boleh menyokong 6 Pro Display XDR. Ciri lain termasuklah Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3 dan sambungan seperti USB-A, USB-C dan sokongan SD.
  1. Buah tangan terbaru Apple Vision Pro mengundang perdebatan
    Syarikat lain buat kaca mata AR, Apple pun hendak juga. Maka terhasillah Apple Vision Pro yang dilekatkan dengan tag harga US$3,499. Produk ini bukan sahaja untuk aplikasi hiburan tetapi perubatan, produktiviti dan bidang berkaitan; namun ia bakal memasuki pasaran yang sudah ada beberapa lagi pengeluar yang makin mengukuh di ruang itu, lapor CNN (https://edition.cnn.com/2023/06/05/tech/wwdc-2023-apple-event/index.html). Kata pengeluar itu lagi, menerusi Vision Pro pengguna tidak akan merasa terasing daripada manusia dan perkara di sekelilingnya.
  1. Apple tak teruja dengan AI
    Mengenangkan populariti ChatGPT dan peralatan kecerdasan buatan yang seangkatan dengannya, Apple kali ini terlihat seolah mengendur dengan tidak berkata banyak tentang AI. Laporan CNN yang sama merumus, Apple seolah lebih berminat dengan VR dengan menggembar-gemburkan kaca mata Vision Pro. Sebaliknya, ia mengulas sedikit sahaja tentang AI menerusi fungsi AutoCorrect yang turut dilancar, yang dikatakan boleh membuat pembetulan pada tahap ayat dan bukan sekadar perkataan sahaja.
  1. Watch, iPad dan AirPods dapat sentuhan baru
    Kemas kini untuk iPad, Watch dan AirPods juga menjadi pengumuman utama Apple kali ini. Untuk iPhone pengguna mendapat beberapa widget yang interaktif dan lebih banyak maklumat di paparan. Apple Watch menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk memaparkan widget yang berkaitan dengan pengguna individu. AirPod juga memiliki kemampuan yang hampir sama, di mana ia boleh mengenalpasti keperluan pengguna ketika mendengar dan membuat perubahan pada audio mengikut kegemaran individu.
  1. Nilai ekosistem pembangun Apple cecah US$1 trillion
    Sebuah kajian mandiri daripada Analysis Group melaporkan pembangun aplikasi untuk Apple App Store dan ekosistem sekitarnya menjana US$1.1 trilion tahun lepas. Ini merupakan petanda ekosistem ini masih mengekalkan trend perkembangan yang sihat. Selain itu ekosistem yang sama turut membawa 4.8 juta pekerjaan di AS dan Eropah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami