IPHONE 14 PRO DAN 14 PRO MAX DILANCARKAN. TIADA LAGI TAKUK, ALWAYS ON DISPLAY, KELAJUAN SEPANTAS CAHAYA


Tidak berhenti setakat iPhone 14 dan iPhone 14 Plus , Apple terus mempamerkan kuasa selaku peneraju teknologi dengan melancarkan barisan telefon pintar Pro baru hari ini. iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max didatangkan dengan kamera setaraf DSLR, pulau yang menggantikan takuk dan cip pemprosesan yang tidak mampu dikejar oleh mana-mana pengeluar lain.
Dynamic Island, ini adalah nama yang diberi oleh Apple untuk menggantikan takuk, rekaan berbentuk pil dan lebih kecil daripada takuk lama. Kamera selfie 30% lebih kecil dan Sensor Proximity juga telah disembunyikan di bawah skrin. Apple mengoptimisasi paparan Dynamic Island dengan memasukkan notifikasi, Face ID dan beberapa aplikasi yang mampu membuatkan anda terkesima dengan pil ini.
Saiz skrin sama seperti tahun lepas iaitu 6.1″ pada Pro dan 6.7″ pada Pro Max, kini lebih terang benderang, sehingga 2,000 nits, dan mempunyai sistem baharu yang menyokong refresh rate sehingga 1Hz. Ini bermakna Always On Display bersedia pada iPhone 14 Pro. Waktu, widget dan beberapa tetapan boleh terpapar sepanjang masa pada Always On Display ini.


Kamera utama di bahagian belakang mempunyai sensor “quad-pixel”. Sensor ini mempunyai resolusi 48MP, dan pada tetapan default akan menangkap gambar dengan 12MP. Dilengkapi juga dengan sensor penstabil generasi kedua, serta piksel fokus penuh.
Sensor utama resolusi tinggi membolehkan zoom sebanyak 2x dalam, sesuai untuk Potret Mode. Terdapat kamera ultra lebar 12MP baharu di belakangnya, dengan piksel 1.4μm yang besar, memberikan imej yang lebih tajam dengan lebih terperinci dan penambahbaikan pada Mode Makro. Kamera telefoto 3x juga masih ada dan mempunyai OIS terbina.
Cip A16 Bionic meguasakan kedua-dua peranti, dan ia dilengkapi dengan CPU enam teras, dengan dua teras prestasi dan empat teras kecekapan. Kuasa A16 Bionic ini 40% lebih pantas daripada pesaing, manakala dua teras berprestasi tinggi memerlukan kuasa 20% kurang daripada yang ada dalam A15. Enjin Neural 16-teras yang disertakan dalam A16 Bionic mampu menjalankan 17 trilion operasi sesaat, manakala GPU 5-teras dilengkapi dengan memori 50% lebih tinggi.
iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max akan ditawarkan dalam warna hitam, perak, emas dan ungu dengan storan 128/256/512GB dan 1TB. Pra tempah bermula pada hari Jumaat, 9 September, dan boleh didapati pada 16 September. Harga di Malaysia bermula RM5,299 untuk 128GB manakala iPhone 14 Pro Max bermula pada RM5,799.
Jangan risau, slot SIM MASIH didapati untuk pasaran Malaysia. e-SIM hanya ditawarkan pada pasaran US sahaja buat masa ini.