IPHONE 14 DAN IPHONE 14 PLUS KINI RASMI. BATERI LEBIH BAIK, KAMERA LEBIH CANTIK

Apple telah mengemaskini penawaran iPhone mereka dengan iPhone 14 dan iPhone 14 Plus pada acara Far Out hari ini. iPhone ini hadir dengan barisan warna baru iaitu hitam, putih, biru ungu dan Product RED iaitu merah.

Ucapkan selamat tinggal kepada iPhone 13 Mini kerana kini tiada lagi iPhone 14 Mini. Sebaliknya Apple menampilkan iPhone 14 Plus dengan saiz skrin 6.7-inci, sama seperti Pro Max. Penawaran model bersaiz besar ini dijangka akan mendapat perhatian di kalangan pelanggan negara Asia.

Model asas iPhone ini boleh didapati dalam dua saiz, dengan skrin 6.1 inci dan 6.7 inci. Saiz iPhone 14 Plus bersamaan dengan saiz iPhone 13 Pro Max sebelum ini. iPhone 14 Plus juga akan menawarkan hayat bateri yang sama seperti Pro Max. Apple menjanjikan iPhone 14 akan menawarkan jangka hayat bateri terbaik yang pernah ada dalam iPhone.

iPhone 14 dan iPhone 14 Plus dikuasakan oleh cip A15, varian enam teras yang sebelum ini digunakan dalam iPhone 13 Pro.

iPhone 14 dan iPhone 14 Plus menampilkan sistem dwi kamera baharu. Kamera 12-megapiksel utama menampilkan sensor baru yang lebih besar untuk mengambil lebih banyak cahaya dan dengan itu menghasilkan imej yang lebih baik dengan lebih terperinci dan kurang noise, terutamanya dalam persekitaran cahaya gelap.

Kamera selfie juga ditingkatkan dengan prestasi cahaya gelap lebih baik dan buat kali pertama fungsi autofokus disertakan sekali.

Fungsi yang tidak disangka-sangka adalah SOS menggunakan satelit, namun sayang sekali fungsi ini hanya ditawarkan di Amerika Syarikat dan Canada sahaja buat masa ini. Fungsi ini membolehkan pengguna menghantar mesej teks pendek jika tiada saluran selular untuk mendapatkan bantuan dalam situasi kecemasan. 

iPhone 14 juga menyertakan Crash Detection, yang menggunakan accelerometers untuk mengesan kemalangan ketika memandu, dan secara automatik menghantar SOS Kecemasan jika perlu.

iPhone 14 dan iPhone 14 Plus boleh mula dipesan pada Jumaat ini, 9 September. iPhone 14 akan mula dijual di seluruh dunia mulai 16 September; model Plus pula menyusul beberapa minggu kemudian, bermula 7 Oktober. Harga jualan di Malaysia bagi iPhone 14 bermula dari RM4,199, dan iPhone 14 Plus bermula dari RM4,699.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami