ABANG SKOP, SAYA PATUT BELI IPHONE 14 ATAU IPHONE 14 PRO?

Ada banyak jenis kegilaan di dunia, ada orang yang asal raya mesti nak tukar langsir rumah, ada yang asal bonus mesti nak tukar sport rim. Kegilaan yang kita nak cakap ini adalah asal Apple lancar iPhone baru, mesti dia nak tukar. Kita raikan kegilaan ini dan ayuh kita bincang, patut beli iPhone 14 atau iPhone 14 Pro?

Apple kini mempunyai iPhone 14 bersaiz 6.1 inci biasa, dan juga iPhone 14 Plus dengan saiz 6.7 inci. Tiada lagi Mini. Selamat tinggal, jasamu dikenang. 

Bagaimana dengan skrin? Seperti tahun lepas, kedua-duanya OLED. iPhone 14 mempunyai resolusi 2,532 x 1,170 pada 460 piksel per inci (ppi), manakala 14 Plus mempunyai resolusi 2,778 x 1,284 pada 458 ppi. Kedua-duanya mencapai 800 nits kecerahan biasanya, tetapi apabila melihat kandungan HDR di Netflix contohnya boleh mencapai sehingga 1,200 nits.

Jangka hayat bateri pada 14 Plus dikatakan sebagai “bateri terbaik dalam iPhone” . Walau bagaimanapun, Apple mengambil pendekatan kontroversial dengan 14 dan 14 Plus. Peranti ini menggunakan cip A15 Bionic, pemproses yang sama terdapat dalam iPhone 13. Satu perkataan sahaja boleh kami ulasa iaitu BOSAN.

Walaupun cip A15 mungkin sama, kamera telah ditambah baik . Kamera utama 12 MP mempunyai sensor yang lebih besar berbanding tahun lepas, dengan apertur af/1.5 yang membolehkan 49% lebih cahaya masuk. 14 juga dilengkapi dengan Photonic Engine, yang mengintegrasi Deep Fusion lebih baik daripada sebelumnya. Ini bermakna ia mengambil lebih banyak data, yang kemudiannya digunakan untuk menghasilkan imej yang lebih terperinci. Apple juga meningkatkan prestasi cahaya rendah.

Harga jualan di Malaysia bagi iPhone 14 bermula dari RM4,199, dan iPhone 14 Plus bermula dari RM4,699. Manakala iPhone 14 Pro bermula RM5,299 untuk 128GB manakala iPhone 14 Pro Max bermula pada RM5,799.

Jadi, saya kena beli iPhone yang mana? 

Sebenarnya kemampuan iPhone 11 dan ke atas adalah sangat baik, anda boleh pejam mata, pergi Machines dan cakap sahaja nak iPhone. Apa sahaja model yang dicadangkan oleh mereka, bayar sahaja dengan rela hati. Namun saya sedar, tidak semua orang ada poket sedalam Jurang Mariana. 

Oleh itu, kena tepuk dada tanya poket. Jika bajet anda suam-suam kuku saya nasihatkan pakai sahaja telefon yang ada di tangan sekarang. Jangan belanjakan sejumlah wang yang besar untuk iPhone terbaharu dan tergemilang ini.

Tetapi jika anda adalah seorang yang memandu Honda City, seminggu dua kali bawa MacBook dan mesyuarat di Starbucks, iPhone 14 adalah pilihan terbaik anda. Dapatkan model 256GB kerana kualiti gambar dan aplikasi semakin besar. 128GB akan cepat penuh dan lama-kelamaan anda akan baran dengan telefon sendiri.

Jika anda pula adalah seorang Apple Fans, tidur pakai Apple Watch, dalam kereta guna CarPlay, main OctaFX pakai iPad Pro, maka iPhone 14 Pro bukanlah masalah buat anda. Kemampuan kamera, Dynamic Island, bateri lebih bagus, dan kecerahan skrin tertinggi dalam mana-mana telefon pintar membuatkan iPhone 14 Pro ini bukanlah calang-calang dan khas buat anda yang juga bukan kaleng-kaleng. 

Jika boleh, pergi ke Apple Store atau kedai teknologi tempatan anda dan cuba telefon itu sendiri. Tengok mana kawan-kawan yang dah dapat beli dan pinjam untuk godek godek. Apa pun, iPhone tetap iPhone, tepuk dada, tanya poket.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami