Apple Lancar Log Masuk Safari Melalui Face ID dan Touch ID Akhir Tahun Ini

Safari 14 yang disokong dengan iOS 14 dan macOS Big Sur  kini dilengkapi akses log masuk ke laman sesawang dengan menggunakan Face ID atau Touch ID.

Dalam satu kenyataan tentang Safari 14 Beta, Apple mengesahkan fungsi tersebut dibina berdasarkan komponen WebAuthn dari standard FIDO2 yang dikuasakan oleh Fast Identity Online (FIDO) Alliance.

Fungsi terbaharu ini membolehkan pengguna masuk ke laman sesawang semudah masuk ke aplikasi yang dilindungi dengan Touch ID atau Face ID.

Ciri keselamatan yang menggunakan kata kunci seperti yang terdapat pada iOS 13.3 dilihat tidak begitu selamat kerana ia membuka ruang kepada penceroboh dengan mudah.

Kunci keselamatan berasaskan biometrik ini diyakini mampu meningkatkan tahap keselamatan akses ke laman sesawang sulit yang menjadi perhatian penggodam.

Selain Safari, Google yang memperoleh kelulusan FIDO2 tahun lalu turut dilaporkan akan memasukkan ciri keselamatan penyemak imbas tersebut ke Chrome di Android.

Dalam masa yang sama juga, Microsoft turut mengumumkan rancangan untuk menjadikan Windows 10 tanpa kata laluan dan mula membenarkan pengguna masuk ke akaun mereka di penyemak imbas Edge dengan menggunakan kunci keselamatan biometrik di Windows Hello.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami