Google Maps Kini Menunjukkan Waktu Ketibaan Bas di Lembah Klang


Anda mungkin banyak bazirkan masa dengan menunggu ketibaan pengangkutan awam seperti bas, komuter dan LRT. Kini dengan kerjasama Google Maps dan Rapid Bus, nampaknya masalah itu boleh diatasi.
Ciri terbaharu Google Maps kini membolehkan pengguna memeriksa lokasi masa nyata bas Rapid KL di sepanjang hampir 170 laluan di Lembah Klang.
Perkhidmatan ini merangkumi laluan bas standard, LRT, serta perkhidmatan bas percuma Go KL dan Smart Selangor.
Dalam satu kenyataan, Rapid Bus Sdn Bhd berkata inisiatif itu dilakukan setelah mereka menerima 4,865 soalan sepanjang Januari hingga April, 60% dari pertanyaan tersebut tentang kedudukan dan lokasi bas.
Selain itu, Google Maps juga akan menunjukan jangka masa ketibaan bas dan juga perjalanan cadangan yang menggabungkan sistem bas dan kereta api di Lembah Klang.
Rapid KL, Go KL dan Smart Selangor dikendalikan oleh syarikat induk Rapid Bus Prasarana Malaysia Berhad, juga merupakan rakan kongsi dalam perkhidmatan Google Transit.
Perkhidmatan itu juga bakal diperluaskan ke Rapid Penang dan Rapid Kuantan.