Video Konsultasi Pesakit Bersama Doktor Dalam Aplikasi Telehealth Babylon Health Bocor


Babylon Health mengakui bahawa pelanggaran data dalam aplikasinya telah membolehkan sebilangan kecil pengguna di UK melihat rakaman video konsultasi pesakit lain dengan doktor.
Firma itu mengatakan, hanya tiga pengguna di UK yang terjejas dan masalah perisian aplikasi tersebut telah diperbaiki.
Insiden tersebut terdedah apabila seorang pengguna, Rory Glover, menulis tweet bahawa dia mempunyai akses ke lebih dari 50 rakaman video konsultasi peribadi pesakit lain.
Babylon Health dalam satu kenyataan memberitahu, mereka menyedari masalah tersebut beberapa jam sebelum tweet Glover tersebut tular di ruang maya.
Mereka turut menyatakan masalah teknikal tersebut hanya membocorkan beberapa saat video pesakit kepada pengguna yang tidak sah.
Babylon Health yang juga merupakan salah satu aplikasi telehealth antarabangsa menjadi aplikasi sangat penting berikutan penularan wabak pandemic Covid-19. Aplikasi tersebut membolehkan pesakit mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk diagnosis dan juga kosultasi dengan doktor melalui ‘GP at Hand”.