Sejumlah 860,000 bakal menganggur, apa PM buat dengan PENJANA?
Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi, terdapat beberapa aspek teknologi yang ditekankan namun sebelum itu beberapa fakta harus diteliti.
Malaysia menghadapi cabaran yang agak getir. Kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac 2020.
Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020, kadar pengangguran dijangka akan meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020.
Dengan mengambil kira situasi yang mencabar ini, ekonomi Malaysia dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan penularan wabak COVID-19 yang masih dijalankan di peringkat global dan dalam negara.
Dengan norma baharu, adalah penting untuk kita memastikan kelangsungan kehidupan harian terutamanya dalam aspek pekerjaan dan juga pendidikan untuk anak-anak. Justeru, Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan menyediakan perkhidmatan internet dengan kapasiti 1GB secara percuma untuk semua pengguna dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari untuk melayari laman web berkaitan pendidikan dan aplikasi persidangan video.
Perkhidmatan internet percuma ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2020. Selain itu, semua pengguna akan dapat mengakses secara percuma tanpa had laman web Kerajaan serta aplikasi COVID-19 Kerajaan, khususnya mySejahtera.


Dalam menjalani kehidupan norma baharu, semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh atau contactless payment. Untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan ini, melalui Program ePenjana yang bernilai RM750 juta, Kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.
Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet. Inisiatif ini yang akan bermula pada bulan Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia.
Kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta akan menjalankan kempen “Shop Malaysia Online” bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian, di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang. Sebagai permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang.


Dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau atas talian, Kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan sebanyak RM140 juta. Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan. Inisiatif ini akan diterajui oleh MDEC bersama platform e-dagang yang terpilih.
Untuk melengkapkan usaha digitalisasi, Kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox yang 13 akan diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan memberi kelonggaran beberapa peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu. Contohnya, menguji penghantaran pembelian dalam talian melalui dron dan penggunaan kenderaan pandu sendiri.
Untuk terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0, Kerajaan akan menyediakan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter. Ini termasuk melaksanakan proses mematikan setem, menyemak dan menuntut Wang Tidak Dituntut bermula 1 Oktober 2020 dan sesi e-temuduga bagi permohonan biasiswa Kerajaan. Sehubungan itu, saya menyeru lebih banyak agensi dan Kementerian untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi