Lexus LF-30 Electrified – Kereta elektrik masa hadapan dengan teknologi drone, roda bermotor dan pemanduan sendiri

Bila sebut saja kereta elektrik yang berkuasa, pasti ramai yang kenal jenama Tesla sahaja. Sebenarnya sudah banyak pengeluar kereta yang sedang berusaha untuk mengeluarkan kereta dengan kuasa elektrik yang terbaik di pasaran.

Kini Lexus telah mengacah kereta elektrik konsep pertama mereka iaitu LF-30 Electrified yang dikhabarkan sedang bersiap sedia untuk diperkenalkan pada bulan hadapan. Menariknya dengan kereta ini, ia mempunyai pelbagai teknologi masa hadapan yang akan membuatkan anda teruja terhadapnya.

Antara teknologi menarik yang dibekalkan pada kereta ini adalah pengawalan gestur, teknologi AR, teknologi pemanduan sendiri, motor yang diletakkan pada roda, pengawalan suara AI, malah terdapat juga drone.

Dari segi rekaan, pada bahagian hadapan kita boleh lihat ia masih mengekalkan DNA kereta yang pernah Lexus perkenalkan sebelum ini. Namun kereta ini dilihat lebih tampak futuristik, lebih garang, elegen dan berteknologi tinggi.

Dibekalkan dengan bateri sebesar 110kWh yang membolehkan pengguna membawa kereta ini sekitar 500 kilometer. Tambahan lagi, kereta ini juga mempunyai kelajuan dari 0 ke 100 KM/h hanya dalam masa 3.8 saat sahaja.

LF-30 dilengkapi dengan 4 tempat duduk, 2 di belakang dan 2 di hadapan. Pada papan pemuka hadapan, ia tampak sangat premium, kelas atasan dan serba serbi berteknologi tinggi. Malah terdapat juga paparan pada kaca di bahagian atas kepala untuk tujuan navigasi dan paparan video.

Pada bahagian lain, ia mempunyai pintu yang terbuka ke bahagian atas seperti pintu ‘Falcon Wing’ yang digunakan oleh Tesla Model X. Yang menariknya lagi, ia mempunyai teknologi ‘Lexus Airporter’ yang menggunakan drone untuk membantu pengguna membawa barang dari rumah ke dalam kereta.

(Sumber)

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: