Google Pixel 4 – Peranti yang dinantikan tapi agak mengecewakan

Ramai diantara pengguna Android dan iPhone yang menanti-nantikan Google Pixel 4 dilancarkan secara rasmi. Keterujaan bercampur apabila sebelum pelancaran Pixel 4 dilihat seakan menggunakan tri-kamera dan mempunyai beberapa fungsi yang menarik. Namun setelah ia dilancarkan, ramai peminat yang menantikan sedikit kecewa dengan siri Pixel 4. Ini sebabnya.

Kapasiti Bateri Yang Kecil

Google memperkenalkan Pixel 4 dengan kapasiti bateri 2800mAh dan Pixel 4 XL pula dengan kapasiti bateri sebesar 3700mAh. Jika melihat pada kapasiti bateri yang ditawarkan buat Pixel 4, ia amatlah kecil untuk sesebuah peranti yang menyokong paparan segar semula 90Hz.

Jika ingin dibandingkan dengan kebanyakan peranti kelas pertengahan pada masa kini ada yang sudah mencecah 5000mAh dan kebiasaan bateri yang digunakan adalah diantara 4000mAh sehingga 4500mAh. Tapi, Pixel 4 hanya 2800mAh? Adakah ini gurauan?

Storan Yang Kecil

Kebanyakan storan buat fon Android kelas atasan sekarang menawarkan sekurang-kurangnya 128GB sebagai storan asas. Namun untuk sesebuah fon premium seperti Pixel 4, Google masih menawarkan storan asas 64GB, malah tiada slot kad SD dan pilihan sehingga 128GB sahaja, tiada 256GB.

Cip Pemproses Lama

Umum mengetahui bahawa kebanyakan pengeluar Android masa kini sedang mengeluarkan peranti kelas atasan mereka dengan cip pemproses Snapdragon 855+ yang mempunyai prestasi lebih baik berbanding Snapdragon 855 yang biasa.

Malangnya walaupun sekarang sudah banyak peranti menggunakan cip pemproses Snapdragon 855+, siri Google Pixel 4 masih mengekalkan Snapdragon 855 yang sedikit ketinggalan dan agak mengecewakan untuk sesebuah peranti premium sebegini.

Tiada Pengimbas Cap Jari Di Skrin

Google telah perkenalkan teknologi baharu pada siri Pixel 4 kali ini dimana ia mempunyai keupayaan nyahaktifkan dengan pengimbas wajah yang sangat pantas. Ia sememangnya satu perkara yang menarik, lebih-lebih lagi buat anda yang gemarkan fungsi keselamatan pengimbas wajah.

Walaupun Pixel 4 tiada lagi pengimbas cap jari dibahagian panel belakang, ia agak mengecewakan bagi pengguna yang sudah biasa dengan pengimbas cap jari pada skrin yang kini sedang digunakan oleh kebanyakan pengguna Android. Mungkin ini adalah kelainan yang ingin dibawakan oleh Google buat peranti yang berasaskan Android mereka.

Tiada Kamera Sudut Ultra-Lebar

Dengan ketiadaan fungsi kamera sudut ultra-lebar, ia sekali lagi mengecewakan peminat siri Pixel yang mendewakan keupayaan kamera dan kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera Google Pixel dengan satu kamera sebelum ini. Kamera Pixel 4 tampak seakan tri-kamera, namun ia sebenarnya adalah dwi-kamera.

Kamera sudut lebar pada masa kini boleh dikatakan salah satu fungsi wajib yang perlu ada pada peranti kelas atasan. Walaupun Apple kuat dengan keegoan mereka sebelum ini, ia telah dibuang dengan meletakkan fungsi kamera sudut ultra-lebar pada siri iPhone 11. Dengan ketiadaan fungsi ini pada siri Pixel 4, ia satu kekecewaan yang pedih buat yang gemarkan mobilegraphy.

Harga Premium, Teknologi Masih Dibelakang

Jika kita menilai dari sudut spesifikasi yang digunakan oleh peranti Android sekarang, siri Pixel 4 agak ketinggalan kebelakang walaupun menawarkan harga premium. Seperti yang saya kongsikan diatas tadi, terdapat lagi beberapa perkara lain yang tiada pada siri Pixel 4 tapi ada pada kebanyakan peranti Android lain seperti 8GB RAM dan UFS 3.0.

Namun Google kaburkan sedikit dengan tawaran paparan 90Hz dan fungsi Motion Sense. Bagi saya sendiri secara peribadi, fungsi motion sense bukan sesuatu yang mengujakan, kerana ia lebih kepada indah khabar dari rupa. Mungkin bagi pengguna biasa pada awalnya akan teruja, namun setelah beberapa hari ia digunakan. Fungsi itu seakan hilang keterujaannya. Ada, tapi tidak digunakan.

Apa pendapat anda?

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: