ASUS ROG Phone 2 kini rasmi di Malaysia – Harga bermula dengan RM3,499 buat 512GB

Pada bulan Julai lalu ASUS telah melancarkan fon yang memfokuskan pada permainan mudah alih (permua) kedua mereka iaitu ASUS ROG Phone 2 dan akhirnya setelah beberapa bulan, hari ini peranti itu sudahpun rasmi di Malaysia.

Dari segi spesifikasi, ia agak berbeza sedikit berbanding set yang ditawarkan oleh China. Perbezaan yang paling mudah untuk dilihat adalah pada bahagian kotak jualan, Malaysia berbentuk simetri. Manakala kabel pengecasan set Malaysia adalah jenis USB-C ke USB-C dan tiada tulisan Tencent Games di panel belakang.

ROG Phone 2 hadir dengan cip pemproses Snapdragon 855+, memori 12GB RAM sahaja dan pilihan storan 512GB atau 1TB dengan UFS 3.0. Menariknya, ROG Phone 2 juga turut hadir bersama penambahan sistem penyejukan AeroActive Cooler II dan pelindung kerangka Aero Case.

Selain itu pada bahagian hadapan, ia dilengkapi dengan skrin OLED bersaiz 6.59-inci resolusi 1080 x 2340 piksel, 10-bit HDR dan menyokong 120Hz fresh rate dengan 1ms latenci. Pilihan 60Hz dan 90Hz juga turut tersedia untuk fon ini. Lebih 0.6-inci berbanding ROG Phone pertama.

Pada bahagian kamera utama pula, ia menggunakan dwi-kamera 48MP dan 13MP. Manakala kamera swafoto 24MP, tanpa sebarang teknologi kamera bermotor kerana peranti ini masuk ada bingkai pada bahagian atas dan bawah yang turut mempunyai pembesar suara stereo.

Dari segi ketahanan penggunaan harian, ROG Phone 2 mempunyai bateri sebesar 6,000mAh yang membolehkan anda bermain PUBG Mobile selama 7 jam tanpa henti. Ia juga mempunyai pengecasan pantas 30W, berbeza dengan set China yang hanya memberi 18W.

ASUS Malaysia menawarkan ROG Phone 2 storan 512GB dengan harga RM3,499 dan storan 1TB dengan harga RM4,499 yang digelar sebagai ultimate edition. Menariknya lagi, ASUS juga turut menawarkan pakej ROG Phone II SuperPack yang menawarkan storan 512GB bersama pelbagai aksesori menarik seperti AeroActive Cooler II, AeroCase, Kunai GamePad, TwinView Dock II, ROG Phone Bag, ROG Suit Case dan pelbagai lagi!

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: