Grab patut kena denda RM86 juta


Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencadangkan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab, didenda RM86,772,943.76 kerana amalan menindas.
Seperti dilaporkan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata Grab turut dikenakan denda kewangan harian RM15,000 bermula hari ini, sekiranya syarikat itu gagal mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan MyCC bagi menangani isu persaingan berkaitan.
Beliau berkata, Grab melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 (AP 2010) secara kolektif berikutan syarikat itu didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa yang membataskan pemandunya.
Tegas beliau, Grab didapati membataskan pemandunya daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.
“MyCC ingin menekankan bahawa klausa-klausa itu memberikan kesan mengganggu persaingan dalam pasaran berkenaan dengan mewujudkan halangan kemasukan dan perkembangan kepada pesaing Grab sedia ada termasuk pesaing masa hadapan.
“Sehubungan itu, syarikat terbabit mempunyai 30 hari bekerja bermula hari ini untuk memberikan representasi pembelaan mereka kepada MyCC.
“Kemudian, MyCC akan mengeluarkan keputusan akhir di bawah Seksyen 39 atau 40 AP 2010 selepas menilai kesemua representasi serta maklumat dan bukti yang diketengahkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCC di sini, hari ini.
Kata Iskandar, tempoh 30 hari diberikan kerana ia bukan keputusan akhir, sebaliknya Grab mempunyai peluang untuk mengemukakan pembelaannya dalam masa ditetapkan.
Menurutnya, isu berkaitan Grab timbul berikutan penggabungan antara Grab dan Uber pada lewat Mac 2018 sehingga Grab menjadi pemain dominan dalam pasaran e-hailing.
Sejak penggabungan itu, katanya, MyCC menerima banyak aduan terhadap Grab, namun beliau enggan mendedahkan secara khusus bentuk aduan diterima dan siapa pengadu.
“Berdasarkan aduan diterima, MyCC membuat penilaian dan memulakan penyiasatan ke atas Grab.
“Adalah penting bagi halangan-halangan kemasukan dalam pasaran (e-hailing) buat pemain baharu kekal rendah dan keupayaan pesaing-pesaing untuk berkembang dan bersaing berdasarkan pengekalan merit.
“Ini bagi memastikan persaingan sentiasa sihat dalam pasaran e-hailing termasuk pasaran-pasaran lain yang berkaitan.
“MyCC berpandangan bahawa perlakuan Grab bukan saja mempunyai kesan kepada pemandu e-hailing dan pesaingnya, malah mempunyai kesan jangka panjang kepada pengguna.

