Syed Saddiq bawa isu Foodpanda ke mesyuarat Kabinet dan ini keputusan kerajaan

Kerajaan tidak bersetuju dengan pengendali aplikasi penghantaran makanan Foodpanda yang mendakwa kebanyakan riders kecuali di Johor telahpun bersetuju dengan skim yang baharu.

Oleh itu, selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membawa rungutan riders tersebut di mesyuarat kabinet hari ini, kerajaan segera menyarankan Foodpanda untuk kembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan riders.

“Foodpanda mendakwa mereka mempunyai kawalan pasaran yang besar dan kebanyakan riders kecuali di Johor telahpun bersetuju dengan skim yang baharu. Ini adalah kurang tepat kerana riders daripada Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga membantah keputusan baru Foodpanda,” kata Syed Saddiq.

“Semalam, saya telah mengadakan sesi pertemuan di kediaman saya bagi mendengar keluh-kesah riders. Sebelum itu, saya juga sempat bertemu pihak pengurusan Foodpanda di pejabat saya,” tambahnya.

Kata Syed Saddiq, setelah mendengar cerita kedua belah pihak, beliau bawakan isu ini ke Kabinet hari ini.

“Kerajaan percaya pada persaingan pasaran bebas tetapi ia tidak boleh mengorbankan nasib pekerja. Kabinet menyarankan Foodpanda untuk kembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan riders,” jelas Syed Saddiq.

Jelasnya lagi, Kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan pasaran yang lebih kompetitif bagi pemain sektor ini terutamanya apabila ada pihak mendakwa mereka yang mengawal pasaran.

“Bagi rancangan jangka masa panjang, Kabinet juga memutuskan untuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membentuk Jawatankuasa Khas untuk menilai isu gig economy dengan lebih mendalam,” katanya selepas mesyuarat Kabinet.

Syed Saddiq berkata, terdapat ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa. Mereka perlu mendapat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka. 

“Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami