Siri iPhone 11 adalah iPhone paling hebat pernah Apple perkenalkan

Segala persoalan tentang siri iPhone kini telah terjawab. Pada acara khas yang diadakan di Steve Jobs Theater hari ini, Apple telah melancarkan siri iPhone 11 terbaru yang hadir dengan 3 model iaitu iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max.

Menerusi pelancaran ini, Apple dilihat memfokuskan pada beberapa faktor penting seperti keupayaan kamera dan video, pilihan warna baharu dan prestasi iPhone yang disesuaikan bersama iOS 13.

Ketiga-tiganya juga dikuasakan dengan cip pemproses Apple A13 Bionic yang lebih berkuasa. Menurut Apple, ia mempunyai prestasi yang jauh lebih baik berbanding cip pemproses yang dikeluarkan oleh pesaing mereka.

iPhone 11

Ia adalah pengganti kepada iPhone Xr yang telah mula diperkenalkan pada tahun lepas dengan rekaan yang sama dan masih mengekalkan panel skrin LCD yang bersaiz 6.1-inci dengan teknologi Liquid Retina.

Menariknya pada iPhone 11 kali ini, ia hadir dengan dwi-kamera 12MP sudut lebar + 12MP ultra-lebar. Mempunyai fungsi baharu seperti mod malam (akhirnya), slo-mo video pada kamera hadapan dan Smart HDR generasi seterusnya.

Selain itu pada ciri lain, ia turut dilengkapi dengan WiFi 6, menyokong Dolby Atmos, ketahanan bateri lebih 1 jam dari iPhone Xr dan pelbagai lagi.

iPhone 11 ditawarkan dengan harga permulaan bernilai $699 (~RM2,912) jika mengikut tukaran wang asing semasa yang hadir dengan pelbagai pilihan warna termasuk 2 warna baharu iaitu Ungu dan Hijau.

iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max

Manakala buat iPhone 11 Pro, ia masih mengekalkan skrin OLED yang bersaiz 5.8-inci dan 11 Pro Max mengekalkan OLED 6.5-inci mempunyai paparan Super Retina XDR yang memaparkan paparan lebih baik.

Dari segi rekaan juga, Apple telah mengalihkan logo Apple ke bahagian tengah yang lebih stabil berbanding sebelum ini di bahagian atas sedikit .

Antara ciri menarik yang ada pada iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max semestinya terletak pada fungsi kameranya yang mempunyai tri-kamera 12MP sudut lebar + 12MP ultra-lebar + 12MP telefoto yang juga mempunyai mod malam dan pelbagai keupayaan baharu yang diperkenalkan termasuk teknologi Deep Fusion.

Selain pada itu, kedua-duanya juga dilengkapi dengan Dolby Atmos, Haptic Touch, pengecasan pantas 18W yang dibekalkan dalam kotak (akhirnya), kaca yang lebih tahan, WiFi 6 dan pelbagai lagi.

Untuk iPhone 11 Pro, ia mempunyai ketahanan bateri lebih 4 jam berbanding iPhone Xs dan iPhone 11 Pro Max mempunyai ketahanan bateri lebih 5 jam berbanding iPhone Xs Max.

iPhone 11 Pro ditawarkan dengan harga permulaan bernilai $999 (~RM4,162) dan untuk iPhone 11 Pro Max bermula $1,099 (~RM4,578) mengikut tukaran wang asing semasa yang mempunyai 3 pilihan warna biasa iaitu Hitam, Putih, Emas dan 1 warna baru iaitu Hijau Gelap.

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: