U Mobile gabung dengan WeChat

U Mobile telah bekerjasama dengan WeChat, platform komunikasi dari Tanah Besar China yang menawarkan khidmat pesanan, sosial, permainan dan pembayaran, untuk melancarkan dua Program Mini dalam ekosistem WeChat.

Kedua-dua program ini, iaitu Program Mini WeChat GO Malaysia dan Program Mini Pavilion KL, direka khas bagi menawarkan pengalaman pelancongan digital di Malaysia berdasarkan gaya hidup serta keperluan pengunjung dari Tanah Besar China. Satu lagi ciri penting adalah pengunjung dari Tanah Besar China boleh membayar untuk pelbagai perkhidmatan dalam kedua-dua Program Mini tersebut dengan mata wang negara mereka, Renminbi (RMB), menerusi fungsi pembayaran yang terdapat dalam ekosistem WeChat.Program Mini WeChat GO Malaysia berazam menjadi teman perjalanan yang serba lengkap bagi pengunjung dari Tanah Besar China. Ia membolehkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan tarikan pelancongan, makanan, budaya, dan tempat beli-belah di Malaysia menerusi satu panduan bahasa Cina interaktif dalam Program Mini tersebut.

Program Mini WeChat GO Malaysia akan menjadi platform utama untuk menarik pengunjung dari Tanah Besar China menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2020. Menerusi kerjasama ini, Tourism Malaysia akan mempromosikan Program Mini tersebut kepada pengunjung dari Tanah Besar China, selari dengan kempen Melawat Malaysia 2020-nya. Ia juga menggalakkan lebih banyak perniagaan di Malaysia menggunakan Program Mini ini bagi menyasarkan kumpulan pengunjung tersebut, manakala WeChat akan aktif membuat promosi menerusi ekosistemnya bagi menghubungkan pengunjung berpotensi dari Tanah Besar China dengan Program Mini WeChat GO Malaysia di Tanah Besar China.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck menegaskan kepentingan dua Program Mini tersebut ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran berkenaan.

“Program Mini WeChat GO Malaysia akan berfungsi sebagai panduan interaktif yang penting untuk pengunjung dari Tanah Besar China bagi semua perkara berkaitan dengan Malaysia, manakala Program Mini Pavilion KL akan meningkatkan lagi pengalaman jamu selera dan beli -belah mereka di Pavilion KL.” Katanya.

Berdasarkan data tahun lalu, ketibaan pengunjung dari Tanah Besar China ke Malaysia mencatatkan jumlah 2.9 juta pengunjung, bahkan setakat ini, terdapat lebih 1.1 bilion gabungan akaun aktif Weixin dan WeChat setiap bulan di seluruh dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami