Rekaan sebenar Huawei Mate 30, Mate 30 Pro, Mate 30 Lite dan Mate 30 Porsche Design tertiris!


Beberapa hari sahaja lagi dari sekarang Huawei bakal melancarkan peranti terbaru mereka siri Huawei Mate 30 yang dikhabarkan akan hadir dengan 4 pilihan model iaitu Huawei Mate 30 Lite yang memfokuskan pada kelas pertengahan, Mate 30 dan Mate 30 Pro yang memfokuskan pada kelas atasan dan Mate 30 Porsche Design yang memfokuskan pada ciri premium.


Pelancaran rasminya telah dijadualkan pada 19 September ini. Kini gambar rekaan sebenar keempat-empat peranti buat siri Huawei Mate 30 sudahpun tertiris dan menunjukkan peranti itu tiada banyak perubahaan dari segi rekaan. Cuma perubahan dari segi beberapa faktor seperti kamera dan skrin.


Jika melihat dari rekaan Mate 30 Porsche Design, ia seakan masih mengekalkan DNA rekaan Mate 20 Porsche Design seperti tahun lepas. Menggunakan rekaan yang tampak premium dan ciri Porsche yang lebih unik berbanding peranti lain.


Buat Huawei Mate 30 Pro ia masih mengekalkan paparan skrin bertakuk dan menggunakan skrin melengkung jenis paparan air terjun (Waterfall) seperti yang digunakan pada Vivo NEX 3 yang diumumkan baru-baru ini.
Rekaan kamera Mate 30 Pro juga berbeza dari rekaan Mate 20 yang diperkenalkan tahun lepas. Jika dulu berbentuk petak, kini ia berbentuk bulat yang dilengkapi dengan quad-kamera. Seperti biasa, saya menjangkakan Mate 30 Pro akan mempunyai fungsi kamera jauh lebih baik dari Huawei P30 Pro. Zoom sampai bintang?
Manakala Huawei Mate 30 pula menggunakan rekaan kamera yang sama seperti Huawei Mate 30 Pro. Namun perbezaan yang ketara adalah dari segi paparan skrin. Ia masih mempunyai takuk tapi lebih kecil dan tidak menggunakan skrin melengkung sepert Mate 30 Pro.
Ketiga-tiga peranti ini dijangkakan akan dikuasakan dengan cip pemproses terbaru dari Huawei iaitu Kirin 990dengan sokongan teknologi 5G. Jadi, kita mungkin akan diperlihatkan dengan Huawei Mate 30 versi 5G.


Dan yang terakhir adalah Huawei Mate 30 Lite yang memfokuskan pada peranti kelas pertengahan. Dari segi rekaan memang berbeza berbanding Mate 30 dan Mate 30 Pro. Rekaan kamera yang digunakan adalah jenis petak, menggunakan paparan skrin berlubang dibahagian kiri seperti Huawei Nova 5T.
Melalui gambar juga boleh lihat ia mempunyai pengimbas cap jari dibahagian belakang. Ini menandakan peranti ini akan menggunakan skrin jenis IPS LCD. Berbeza dengan Mate 30 dan Mate 30 Pro yang akan menggunakan skrin jenis OLED.
Terdapat juga ura-ura bahawa siri Huawei Mate 30 yang bakal dilancarkan ini tidak lagi menyokong perkhidmatan Google berikutan isu yang terpalit sebelum ini mengenai senarai hitam oleh Amerika Syarikat. Apa pun, sama-sama kita nantikan.
(Sumber)