Tiada perkhidmatan Google dan Android buat Huawei Mate 30

Nampaknya senarai hitam Huawei di Amerika Syarikat masih lagi belum reda sepenuhnya. Sebelum ini kita sudah dengar bahawa tempoh dagangan antara Huawei dan syarikat AS telah tamat 90 hari dan ditambah lagi 90 hari.

Kini menurut laporan dari Forbes, jurucakap Google telah mengesahkan bahawa siri Huawei Mate 30 yang dilancarkan tak lama lagi akan hadir tanpa versi Android sepenuhnya dan tanpa perlesenan perkhidmatan Google berikutan pengharaman dari AS.

“Penangguhan yang diumumkan pada minggu lepas tidak digunakan untuk produk baru seperti Mate 30,” kata jurucakap itu.

Mengikut laporan sebelum ini, siri Huawei Mate 30 bakal dilancarkan pada bulan September ini. Namun tak dapat dipastikan bilakah dan bagaimanakah peranti ini akan dijual memandangkan ia tidak lagi menyokong perkhidmatan dari Google.

Ia adalah satu berita yang kurang enak untuk didengar oleh pengguna Huawei. Di China mungkin tiada masalah, kerana pengguna disana sudah biasa tanapa perkhidmatan Google. Tapi, bagaimana pengguna secara global mahu menggunakannya? Inilah persoalan yang sedang berlegar difikiran.

Bahkan aplikasi seperti Facebook, Twitter, Pinterest dan beberapa syarikat yang berpangkalan di AS juga tidak akan menawarkan perkhidmatan aplikasi mereka pada gedung OS yang terbaru itu.

Kita juga sudah tahu bahawa Huawei sudah menyediakan ‘plan B’ dengan mencipta Harmony OS. Namun menurut laporan sebelum ini, ia bukan dicipta sepenuhnya untuk telefon pintar. Dan jika ia boleh digunakan pun, Harmony OS masih ditahap yang belum matang.

(Sumber 1, 2)

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: