Hobbs & Shaw – Filem aksi dengan elemen lawak yang menjengkelkan

Hobbs & Shaw adalah filem aksi terbaru dari filem franchise The Fast & The Furious (TFTF). Namun filem ni agak berbeza dari filem-filem TFTF yang anda pernah tonton. Ia mengambil watak tertentu dari TFTF dan menjadikan filem ini lebih unik.

Filem ini mengisahkan dua watak utama iaitu Hobss yang dilakonkan oleh The Rock (Dwayne Johnson) dan Shaw yang dilakonkan oleh Jason Statham. Mereka bertemu kembali untuk menyelesaikan misi dan menyelamatkan virus dari jatuh ke tangan penjahat.

Jika melihat dari kedua-dua watak ini, ia mempunyai perbezaan yang amat ketara dari segi gaya hidup dan perwatakan. Hobbs dilihat nampak sangat lasak dan ganas. Manakala Shaw lebih tenang, berkarisma dan mewah.

Sepanjang menonton filem ini, permulaan perjumpaan mereka mempunyai elemen lawak yang masih boleh diterima dan ia menghiburkan. Namun apa yang mendukacitakan adalah elemen itu dibawa (drag) sampai hampir ke penghujung cerita. Dan elemen itu seperti flat.

Sebagai penonton, saya berasa agak menjengkelkan apabila kedua-dua watak utama yang kelihatan sasa dan berkarisma ini asyik bertelingkah. Malahan cuba untuk menzahirkan elemen lawak mereka dengan cara yang sama berulang-ulang kali.

Aksi pergaduhan yang dipaparkan juga kelihatan agak membosankan. Jason Statham kita tahu beliau sangat handal berlawan. Tapi saya tidak teruja dalam filem ini dan membuatkan saya hampir keluar dari pawagam pada pertengahan cerita.

Namun apa yang saya boleh puji adalah adegan aksi lain seperti kejar mengejar menaiki motor dan kereta, adegan semasa berada di Samoa yang sememangnya tampak mengujakan dan kecanggihan alatan watak antagonis dalam filem ini yang dimainkan oleh Idris Elba.

Juga beberapa watak khas juga turut hadir dalam filem ini yang membuatkan filem ini lebih menghiburkan.

Walaupun ia nampak terlalu tidak logik dan boleh juga dikaitkan seperti Terminator, namun saya merasakan ia cabaran yang hebat buat Hobbs & Shaw untuk menangani musuh mereka.

Jika diberi peluang tonton sekali lagi, saya akan menolak. Jalan cerita yang biasa-biasa sahaja. Elemen lawak yang menjengkelkan dan membosankan. Terasa macam banyak betul cakap.

Ia adalah filem aksi lawak yang ringan dan menghiburkan. Tidak terlalu berat untuk berfikir dan tidak terlalu ganas untuk ditonton. Secara keseluruhan, saya boleh bagi 5/10 bintang.

Mungkin filem ni tak kena dengan selera saya sebagai penonton biasa yang gemarkan filem. Namun terpulang pada anda untuk menilainya sendiri mengikut citarasa anda.

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: