5 sebab kenapa perlu tonton BoBoiBoy Movie 2

Umum sedia maklum bahawa BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2) bakal ditayangkan buat umum tidak lama lagi iaitu pada 8 Ogos ini (Khamis). Ia adalah filem animasi terbitan Animonsta Studios dan diarah oleh Nizam Razak.

Hari ini TheSkop berkesempatan untuk menonton filem ini secara eksklusif di Alamanda, Purajaya. Secara jujurnya saya tidak meletakkan apa-apa harapan buat filem animasi ini. Sekadar ingin melihat hasil filem animasi tempatan yang dikhabarkan sudah semakin hebat.

Tanpa panjang cerita lagi, mari kita lihat 5 perkara kenapa anda perlu tonton filem ni walaupun anda seorang yang dewasa. Perkongsian ini tidak mengandungi spoiler’. Jadi, anda selamat membaca sebelum menonton.

1- AKSI

Sepanjang menonton filem ni, boleh dikatakan filem ni memang sangat padat dengan aksi dari awal sehingga akhir. Saya jarang melihat filem animasi yang mempunyai elemen pertarungan dengan penuh teruja. Tapi filem ni mampu membangkitkan perasaan teruja melihatnya.

Ada beberapa adegan yang akan membuat penonton boleh meremang bulu roma, sorakan dan penuh dengan rasa kepuasan jika menonton di pawagam semasa aksi pertarungan.

2- LAWAK

Siapa yang tak suka adegan lawak kan? Saya pasti kebanyakan penonton sukakan adegan yang menghiburkan, lebih-lebih lagi kanak-kanak. Filem ini saya boleh jamin akan membuat anda ketawa dan tersenyum apabila keluar pawagam.

Dalam filem ini, pelbagai adegan lawak yang sangat bersahaja, santai dan tidak membawa elemen lawak yang sama berpanjangan. Kerana ada beberapa watak yang memainkan elemen lawak yang berlainan. Jadi ia disusun dengan rapi agar penonton tidak rasa bosan dengan lawak yang sama.

3- WATAK ANTAGONIS

Lepas saya sentuh pasal adegan lawak tadi, sebenarnya bukan semua adegan adalah kelakar. Kerana watak antagonis filem ini iaitu Retak’ka nampak sangat kuat dan membuatkan filem ini terasa mencabar.

Saya boleh puji watak antagonis yang diperkenalkan dalam filem ini. Kejahatan yang beliau bawakan bukan kejahatan yang menjengkelkan atau kejahatan yang suka buat lawak bodoh. Tapi betul-betul jahat, berkarisma dan ganas.

4- GRAFIK

Walaupun grafik yang dipaparkan tidak sehebat filem animasi dari Hollywood, tapi saya boleh puji grafik yang dipaparkan pada filem ini.

Setiap adegan pertarungan memberi kesan khas yang cukup mengujakan dan tidak bosan untuk ditonton. Setiap watak juga mempunyai grafik animasi yang cukup cantik. Dan ini membuktikan filem animasi tempatan semakin hebat.

5- JALAN CERITA

Aku agak cerewet sikit dari segi penceritaan sesebuah filem. Tak kira animasi ataupun filem biasa. Tapi filem ini awal-awal dah buat saya rasa teruja nak tengok sampai habis.

Jalan cerita filem ni agak kemas dan teratur, tidak berterabur dan pentonton tidak perlu berfikir banyak untuk menonton kerana filem ni agak ringan dan lebih kepada hiburan.

Dan macam biasa, ada perkara-perkara baru yang akan dipaparkan pada filem ini. Nak tahu perkara apa tu? Tonton filem ni sendiri pada 8 Ogos nanti. Boleh bawa satu keluarga tonton sekali. Keluar pawagam nanti, saya jamin dengan mak bapak senyum dan rasa puas dengan filem ni.

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: