Lenovo umumkan barisan IdeaPad yang hadir dengan langganan Microsoft Office 2019 seumur hidup

Lenovo hari ini pada acara khas yang berlangsung di Pavilion, KL telah mengumumkan barisan komputer riba mereka yang telah dikemaskini dengan beberapa penambahan.

Antara komputer riba yang diumumkan hari ini adalah IdeaPad C340, IdeaPad S340, IdeaPad S540, IdeaPad L340 dan IdeaCentre AIO A340. Kesemua komputer ini telah dipertingkatkan dari segi spesifikasi dan fungsinya dengan harga yang mampu milik.

Yang menariknya lagi, kesemua komputer yang diumumkan ini mempunyai langganan penuh Microsoft Office 2019 yang telah tersedia untuk digunakan seumur hidup. Perisian Microsoft Office 2019 yang tersedia termasuk Words, Excel, PowerPoint dan OneDrive.

Komputer riba yang pertama adalah IdeaPad C340 yang dikuasakan oleh cip pemproses Intel Core i5 Generasi ke-8. Selain itu, ia juga turut dilengkapi dengan teknologi Rapid Charge yang berupaya mengecas bateri sehingga 80% dalam masa 1 jam sahaja.

Menariknya lagi, ia juga turut mempunyai keupayaan lipat sehingga 360 darjah dengan skrin yang bersaiz 14-inci FHD (1920 x 1080 dan hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX230, RAM DDR4 sehingga 16GB, storan memori 256GB SSD. Harga yang ditawarkan adalah bermula RM2,799.

Yang seterusnya adalah IdeaPad S340 yang hadir dengan skrin 14-inci FHD dan IdeaPad S540 dengan skrin bersaiz 15-inci FHD. Kedua-duanya dikuasakan dengan cip pemproses Intel Core i7 Generasi ke-8, kad grafik NVIDIA GeForce MX250, storan memori sehingga 1TB HD buat S340 dan sehingga 512GB SSD buat S540.

Ciri menarik yang ada pada S340 adalah fungsi privasi pada kamera yang diletakkan di skrin. Anda boleh menutupnya jika tidak guna dan termasuk bingkai paparan yang nipis. Manakala S540 mempunyai ketahanan bateri sehingga 12 jam dan pengecasan pantas 80% dalam masa 1 jam. Harga yang ditawarkan adalah bermula RM2,599.

IdeaPad L340 pula hadir dengan skrin bersaiz 15.6-inci FHD, pilihan cip pemproses sehingga Intel Core i7 Generasi ke-8, pilihan kad grafik  NVIDIA GeForce GTX 1050 yang lebih berkuasa, DDR4 RAM sehingga 16GB dan storan memori 512GB SSD atau 1TB HDD SATA.

Berbeza dengan IdeaPad S540, IdeaPad L340 mempunyai ketahanan bateri sehingga 9 jam dengan sekali cas penuh dalam masa 2 jam sahaja. Harga yang ditawarkan adalah bermula RM1,799 untuk S340 dan bermula RM3,499 untuk S540.

Dan yang terakhir adalah IdeaCentre AIO A340 yang dilihat amat sesuai untuk kegunaan pejabat. A340 hadir dengan skrin sebesar 23.8-inci yang turut mempunyai fungsi skrin touch screen dan bingkai skrin yang nipis, yang dapat memberi paparan yang menarik buat pengguna.

Ia dikuasakan dengan cip pemproses Intel Core i5 generasi ke-8, mempunyai rekaan penahan yang tampak unik dan minimal, DDR4 RAM sehingga 16GB, storan memori 512GB SSD atau 2TB HDD. Harga yang ditawarkan adalah bermula RM2,199.

Anda boleh mendapatkan kesemua komputer ini di kedai-kedai jualan fizikal rasmi Lenovo Ekslusif ataupun kedai jualan Lenovo secara dalam talian yang telah mula dijual hari ini.

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: