iPhone 2020 mungkin akan hadir dengan skrin penuh tanpa sebarang takuk

Beberapa bulan sahaja lagi pelancaran rasmi, 1 – 2 bulan yang lepas nampaknya kita sudah diperlihatkan dengan rekaan iPhone 11 yang tertiris dengan agak tepat. Malahan pelindung kerangka (casing) pun sudah mula diperlihatkan di arena web.

Namun begitu, belum lagi masuk tahun 2020 beberapa pakar analisis teknologi sudahpun membuat kajian mereka bahawa tahun 2020 Apple mungkin akan menawarkan iPhone dengan rekaan skrin tanpa sebarang takuk. Ia ternyata antara ura-ura yang paling awal keluar sebelum iPhone 2019 dilancarkan.

Antara penganalisis yang berkongsikan kajian mereka adalah Ming-Chi Kuo yang dilaporkan melalui laman web dari China iaitu MyDrivers. Beliau berpendapat bahawa salah satu iPhone pada tahun 2020 akan dilengkapi dengan lensa kamera depan yang lebih kecil untuk nisbah bingkai yang lebih baik, yang mencadangkan kedudukan itu akan lebih nipis.

Tambahan lagi, China Times memetik seorang penganalisis di firma pelaburan Credit Suisse di Asia yang percaya Apple bercadang untuk melepaskan satu model iPhone baru tanpa takuk atau Face ID pada tahun 2020.

Penganalisis itu mendakwa iPhone itu akan memaparkan kamera depan bawah skrin dan skrin penuh bersama pengimbas cap jari bawah skrin, yang kedengaran seperti versi Touch ID yang akan berfungsi di mana sahaja di paparan iPhone. Jika melihat dari teknologi Touch ID ini, ia berbunyi lebih kurang seperti teknologi yang Vivo perkenalkan pada Vivo Apex pada April yang lepas.

Mereka juga percaya bahawa ketiga-tiga iPhone baru akan hadir dengan skrin tanpa takuk pada tahun 2021 dengan perkenalkan teknologi kamera depan bawah skrin dan pengimbas cap jari dibawah skrin. Laporan itu juga mendakwa Apple mungkin akan mengembangkan teknologi cap jari bawah skrinnya sendiri dan bukannya bergantung kepada pembekal pihak ketiga.

Melihat dari teknologi sebegini, pengeluar China seperti Oppo dan Xiaomi sudahpun mula perkenalkan pada umum. Namun ia masih ditahap yang awal. Tahun hadapan mungkin kita akan diperlihatkan lebih banyak teknologi seumpama ini dengan implementasi yang lebih baik supaya ia “tidak hanya tangkap muat”.

Jika mengikut laporan penganalisis dan rekaan iPhone 11 yang tertiris, jangkaan rangkaian rekaan iPhone dalam masa 3 tahun adalah seperti :

  • iPhone 2019 – Semua model masih ada takuk di skrin
  • iPhone 2020 – Beberapa satu model tanpa takuk di skrin, mempunyai teknologi pengimbas cap jari di skrin dan kamera dibawah skrin
  • iPhone 2021 – Kesemua model tanpa takuk di skrin, mempunyai teknologi pengimbas cap jari di skrin dan kamera dibawah skrin

Konklusinya, teknologi seumpama ini sememangnya sangat bagus buat pengguna yang dahagakan rekaan dan inovasi baharu dalam telefon pintar. Namun implementasinya buat telefon pintar bukan sesuatu yang perlu diambil mudah. Jika tidak, ia akan menerima nasib yang sama seperti Samsung Galaxy Fold yang ditunda pengeluarannya.

(Sumber)

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: