Hongmeng OS bukan direka untuk menggantikan Android

Sebelum ini pelbagai laporan yang kita dapat mengenai sistem operasi yang dikhabarkan akan diperkenalkan oleh Huawei iaitu Hongmeng OS. Laporan itu termasuk ia akan menggantikan sistem operasi Google Android buat telefon pintar dan mempunyai sokongan terhadap peranti lain lagi.

Namun menurut laporan terkini, Naib Presiden Kanan Huawei iaitu Catherine Chen telah mengesahkan bahawa Hongmeng OS tidak direka untuk menggantikan Android buat telefon pintar menerusi laporan yang dibuat oleh Xinhua.

Chen berkata walaupun sistem operasi untuk telefon pintar biasanya mengandungi berpuluh-puluh juta kod, Hongmeng OS mengandungi kurang sedikit dalam kuantiti beratus ribu. Dan ia sememangnya sangat selamat. Menurutnya lagi, sistem Hongmeng OS juga mempunyai latensi lebih rendah berbanding dengan sistem operasi telefon pintar.

Beliau juga turut menambah bahawa Hongmeng OS direka untuk kegunaan industri. Malahan, Pengerusi Huawei Liang Chua yang dilaporkan oleh TechNode pada minggu lepas mengatakan, Hongmeng OS sebetulnya direka untuk kegunaan Internet of Things (IoT) dan mereka juga belum membuat keputusan ia akan digunapakai buat telefon pintar.

Media dari Perancis, Le Point Perancis sebelum ini juga pernah melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Ren Zhengfei yang mengatakan “Hongmeng tidak direka untuk telefon seperti semua orang fikir. Kami tidak mengembangkan OS untuk menggantikan Google – dan jika Google mengeluarkan sistem OS dari Huawei, kita perlu memulakan pembinaan ekosistem kerana kita tidak mempunyai rancangan yang jelas lagi.”

Dengan berita ini, sekaligus telah mengesahkan bahawa Hongmeng OS mungkin tidak akan hadir buat telefon pintar sebagai ganti kepada Android seperti yang digembar-gamburkan sebelum ini. Memandangkan tiada lagi sekatan Google dan Huawei, ia telah menguatkan lagi bahawa peminat Huawei mungkin tidak merasai Hongmeng OS buat telefon pintar.

(Sumber)

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.