Aplikasi ‘Respons Rakyat’ dilancarkan bagi memudahkan untuk membuat aduan

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah melancarkan aplikasi Respons Rakyat (RR 2.0) di Putrajaya. Ia adalah salah satu inisiatif buat orang awam untuk melaporkan sebarang aduan tentang sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ini adalah aplikasi generasi kedua yang mempunyai fungsi seumpama ini selepas ia mula diperkenalkan pada tahun 2016 yang digelar sebagai Rakyat Responz (RR 1.0). RR 2.0 Mempunyai kelebihan dari segi muat naik video dan audio jika dibandingkan dengan RR 1.0 yang hanya boleh memuat naik gambar dan fail dokumen sahaja.

Menurut laporan, aduan boleh disampaikan kepada 460 badan kerajaan melibatkan 25 kementerian, 257 agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti.

“Penghasilan RR 2.0 merupakan langkah terbaharu pihak kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” menurut Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam satu kenyataan.

Antara fungsi lain yang terdapat dalam aplikasi ini adalah pengadu boleh mengikuti perkembangan kes dalam siasatan melalui telefon pintar iaitu dalam aplikasi tanpa perlu log masuk ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) untuk menyemak kedudukan semasa kes.

Anda boleh muat turun aplikasi Respons Rakyat di iOS (App Store) dan Android (Play Store) secara percuma.

(Sumber)


FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: