Ini adalah 13 fungsi Apple iOS 13 yang menarik!

Umum sedia maklum pada acara khas WWDC 2019 yang lepas, Apple telah perkenalkan iOS 13, iPadOS, macOS Catalina, watchOS 6, tvOS 13 buat Apple TV, Mac Pro terbaru dan skrin monitor Pro Display XDR.

Pada perkenalan iOS 13, kami tertarik dengan beberapa fungsi baru yang bakal memberi pengalaman baru buat pengguna iPhone. Berikut adalah 13 fungsi baru buat iOS 13 yang menjadi pilihan kami.

1- Kepantasan dan prestasi

Jika sentuh soal prestasi, iPhone adalah antara peranti yang mempunyai ketahanan prestasi dalam masa yang agak lama. iPhone 7 Plus yang dilancarkan pada 2016 sehingga sekarang masih mempunyai prestasi yang baik.

Untuk iOS 13, Apple telah menyatakan bahawa ia akan memberi 2x kali kelajuan untuk membuka aplikasi, 30% kelajuan Face ID dan muat turun aplikasi 60% lebih rendah.

2- Dark Mode

Salah satu fungsi yang pasti ramai pengguna iPhone nantikan sejak dari iOS 11. Jika sebelum ini Apple telah perkenalkan fungsi ini pada macOS, kali ini Apple telah perkenalkan pada iOS 13 dan iPadOS. Dark Mode (mod gelap) akan dipaparkan pada semua aplikasi dari Apple dan termasuk beberapa paparan lain seperti notifikasi dan lain-lain lagi.

Tambahan lagi, mod gelap ini juga berupaya untuk mempengaruhi wallpaper terbaru khas buat iOS 13. Jika anda bertukar dari mod biasa ke mod gelap, wallpaper juga turut akan bertukar kepada mod gelap mengikut situasi pilihan mod anda.

3- Find My

Jika sebelum ini Find My dibahagikan kepada dua iaitu Find My iPhone dan Find My Friends. Untuk iOS 13, Apple telah menggabungkan kedua-dua aplikasi ini menjadi satu yang dikenali sebagai Find My.

Berlainan dengan Find My iPhone, Find My akan berfungsi walaupun tiada sambungan internet selular atau WiFi. Jika anda kehilangan peranti, anda boleh mengaktifkan fungsi Find My dan ia akan memancarkan isyarat lokasi hanya menggunakan bluetooth.

iPhone yang berhampiran akan mengesan isyarat iPhone anda yang hilang dan ia akan menghantar isyarat lokasi kepada anda. Ia adalah sistem terbaru Apple yang disulitkan (encrypted).

4- Sunting gambar dan video dengan lebih pro!

Buat pertama kali, Apple telah perkenalkan fungsi suntingan terbaru di aplikasi Photos. Anda kini boleh menyunting gambar dan video dengan aturan dan penapis (filter) yang sama. Selain itu, pelbagai pilihan suntingan baharu yang diperkenalkan oleh Apple termasuk video yang boleh diputar (rotate).

Dengan reka bentuk tab Photos baru yang mendokumenkan kehidupan anda pada tahun demi tahun. Anda mempunyai kawalan lebih banyak untuk zoom masuk dan zoom keluar galeri foto. Anda juga boleh lihat gambar yang sudah diambil mengikut hari, bulan dan tahun.

5- Pilihan WiFi dan Bluetooth di Control Center

Jika sebelum ini anda perlu masuk Setting untuk memilih WiFi dan Bluetooth untuk disambungkan, dengan iOS 13 tidak perlu lagi. Ia boleh dilakukan dengan hanya melalui Control Center.

6- Sambungan Kad SD dan USB Flash Storage

Fungsi sambungan ini adalah khas buat kedua-dua operasi sistem iOS 13 dan iPadOS. Anda boleh memindahkan fail dan data dari Kad SD atau USB Flash Storage ke aplikasi Files yang ada di iPad atau iPhone.

7- Sambungan kawalan DualShock 4 dan Xbox One S

Berita baik buat penggemar permua. iPhone dan iPad yang mempunyai sokongan iOS 13 kini boleh disambungkan dengan alat kawalan permainan konsol DualShock 4 PS4 dan Xbox One S untuk anda bermain permainan mudah alih.

8- Dolby Atmos

Audio adalah salah satu perkara yang penting demi untuk memberi pengalaman menonton video, permua dan mendengar lagu. Dengan iOS 13, Apple telah memberikan sokongan Dolby Atmos untuk kualiti audio yang lebih baik.

9- Music kini memaparkan lirik selari dengan lagu

Jika anda yang gemar menyanyi bersama ketika lagu dimainkan di aplikasi Music di iPhone atau iPad, ia adalah berita baik buat anda kerana kini lirik akan dipaparkan selari dengan rentak lagu yang dimainkan. Ini adalah salah satu fungsi kegemaran saya!

10- QuickPath di papan kekunci

Kini anda boleh menaip dengan mudah pada iOS 13. Ia bukanlah satu fungsi menaip yang biasa anda gunakan pada papan kekunci iPhone. Tetapi ia adalah fungsi menggerakkan jari kepada huruf yang anda mahukan untuk anda paparkan perkataan yang anda mahukan.

11- Pelekat Memoji

Animoji telah diperkenalkan pada iPhone X sejak tahun 2017. Kini Apple perkenalkan ciri seperti Animoji yang dinamakan sebagai Memoji. Pelbagai pilihan aksesori telah ditambah terhadap Memoji termasuk AirPods sebagai aksesori di telinga.

Dengan Memoji, anda boleh mencipta pelekat yang lebih tampak realisitik dan seolah gambaran wajah anda sendiri. Pelekat Memoji ini juga boleh dikongsikan ke pelbagai aplikasi lain.

12- Fungsi baru aplikasi Health

Dengan kemaskini iOS 13, anda kini boleh mengesan kitaran waktu haid buat golongan wanita dan tempoh kesuburan anda. Dengan fungsi baru ini, aplikasi Health akan memaparkan notifikasi bagi mengingatkan anda tentang waktu haid anda. Selain itu, pelbagai lagi fungsi terbaru seperti Cycling Tracking untuk anda mengesan waktu aktif akan kayuh basikal.

Dengan fungsi terbaru ini, anda tidak perlu lagi menggunakan aplikasi pihak ketiga untuk mengetahui waktu haid anda. Fungsi ini juga menyokong watchOS 6 yang terbaru untuk pengguna Apple Watch.

13- Paparan seakan Google Street View di Apple Maps

Fungsi terbaru ini digelar sebagai “Look Around” oleh Apple terhadap aplikasi Maps untuk iOS 13. Ia membolehkan anda melihat paparan jalan yang ingin dituju seperti yang dipaparkan oleh aplikasi Google Street View.

Ia sememangnya fungsi yang amat berguna untuk kegunaan dalam satu aplikasi yang sama dan memberi kelebihan kepada pengguna yang ingin melihat lokasi tanpa perlu pergi ke tempat berikut.

iPhone yang menyokong iOS 13 :

  • iPhone SE
  • iPhone 6s, iPhone 6s Plus
  • iPhone 7, iPhone 7 Plus
  • iPhone 8, iPhone 8 Plus
  • iPhone X
  • iPhone Xr
  • iPhone Xs, iPhone Xs Max

iOS 13 akan dilepaskan buat pengguna umum secara rasmi pada September tahun ini. Dijangka selepas pelancaran iPhone terbaru.

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: