Rekaan iPhone XIR Tertiris – Menggunakan Dwi-Kamera

Beberapa bulan ini ketirisan tentang iPhone 2019 dilihat tersebar dengan sangat pantas. Pelbagai bukti yang boleh dikatakan memberi jawapan kepada rekaan siri iPhone XI yang tepat.

Seperti gambar acuan iPhone XI dan iPhone XI Max yang digunakan untuk pembuatan casing oleh syarikat pengeluar casing. Juga rekaan 3D yang ditunjukkan oleh MacOtakara. Antara portal berita yang selama bertahun-tahun berkongsi info tentang iPhone yang tepat sebelum tarikh ia diperkenalkan.

Baru-baru ini pengguna Twitter OnLeaks juga telah menunjukkan rekaan yang dikatakan iPhone XIR setelah di render. Dapat dilihat iPhone XIR yang tertiris ini menggunakan Dwi-Kamera dan bentuk benjolan kamera seperti siri iPhone XI yang tertiris. Rekaan kerangka masih mengekalkan rekaan seperti iPhone Xr yang diperkenalkan pada tahun lepas.

Dengan benjolan yang agak besar pada bentuk kamera, dapat dilihat Apple masih mengekalkan rekaan Dwi-Kamera yang berbentuk vertikal dan lampu flash di bahagian sisi kanan tengah. Dijangka ia masih mengekalkan saiz skrin 6.1-inci dan panel LCD 1,792 x 828 piksel.

Mengikut ura-ura juga, iPhone XIR mungkin akan dibekalkan dengan Dwi-Kamera 12MP (Wide) dan 12MP (Telefoto).