Kedai mula menolak tawaran trade-in fon Huawei dan ambil dengan harga yang sangat rendah

Pihak Google menerusi laman Twitter rasmi Android telah menjelaskan bahawa peranti Huawei sedia ada masih boleh digunakan seperti biasa untuk mengakses Google Play Store dan Play Protect.

Tambahan lagi, Huawei juga turut menyatakan bahawa mereka akan terus komited dan menjanjikan perkhidmatan lepas jualan kepada pengguna peranti Huawei.

Walaupun pihak Huawei dan Android telah beri maklum balas, saya merasakan ramai pengguna yang masih ragu-ragu terhadap masa depan Huawei. Lebih-lebih lagi penjual yang masih memegang stok dan yang mahu membuat perkhidmatan trade-in.

Dengan pelbagai berita yang kurang senang ini dan isu yang masih belum reda, beberapa kedai jual telefon di Malaysia dilaporkan sedang giat menolak perkhidmatan trade-in mahupun membeli fon Huawei. Adapun, mungkin ambil dengan harga yang sangat murah.

Menerusi perkongsian pengguna di Twitter, fon Huawei Nova 3i yang ingin dijual kembali kepada kedai diambil dengan harga RM50 sahaja. Harga pembelian dari kedai yang sangat tidak masuk akal.

Selain itu, saya juga sempat bertanyakan pada beberapa penjual yang sekarang ini sedang mengelakkan untuk ambil fon Huawei sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang risiko dan kemungkinan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat bertanggungjawab mengeluarkan cip pemprosesan Kirin (ARM) juga telah keluarkan kenyataan bahawa mereka juga akan menyekat kerjasama dengan Huawei. Jika tiada cip Kirin, fon Huawei akan pakai cip apa? Qualcomm dan Intel awal-awal sudah sekat kerjasama mereka.

Dengan isu sebegini, ada baiknya Huawei bertindak dengan pantas untuk menjelaskan hal sebenar dan buktikan kepada pengguna kenapa mereka tidak perlu risau sebagai jaminan terhadap masa depan peranti Huawei yang lebih baik. Jika tidak, mungkin ramai pengguna Huawei luar dari China akan terus berkurangan hari demi hari. Malah jualan juga turut merosot.

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: