Ini sebab kenapa siri iPhone XI (2019) bakal mempunyai rekaan yang sama seperti iPhone Xs (2018)

Kalau mengikut dari perkembangan Apple iPhone dari tahun 2007 hingga 2017, kita dapat lihat iPhone mempunyai rekaan yang sama dalam jangka masa yang agak lama.

Jika anda melihat kembali iPhone Generasi Pertama hingga iPhone 8 Plus mempunyai rekaan skrin yang sama dengan skrin LCD, mempunyai butang home dan bingkai yang tebal pada bahagian atas dan bawah. Cuma rekaan badan, saiz, fungsi dan kualiti yang membezakan kesemua iPhone berikut.

Tetapi akhirnya setelah 10 tahun, Apple baru mula perkenalkan rekaan skrin yang baru pada iPhone X yang mempunyai takuk pada bahagian atas untuk mengekalkan fungsi kamera dengan kualiti yang baik dan fungsi Face ID. Ia juga adalah iPhone pertama yang menggunakan skrin jenis OLED yang dibekalkan oleh pihak Samsung.

Jadi jika anda harapkan rekaan iPhone berlainan setiap tahun, mungkin anda perlu buang harapan itu. Bahkan, rekaan iPhone 6/Plus juga bertahan sehingga 4 tahun sehinggalah iPhone 8/Plus. Apple hanya meletakkan beberapa ciri dan fungsi baru pada model-model yang seterusnya. Tiada perubahan fizikal yang terlalu ketara.

Saya sendiri tidak terkejut dengan pelbagai ura-ura yang sudah tertiris, Apple masih akan mengekalkan rekaan skrin yang mempunyai takuk seperti iPhone Xs pada siri iPhone XI tahun ini.

iPhone XIR, iPhone XI dan iPhone XI Max mungkin akan dilengkapi dengan pelbagai ciri dan fungsi baru. Tapi tidak rekaan yang baru. Berdasarkan sejarah Apple, dijangka rekaan skrin iPhone yang mempunyai takuk akan kekal dalam masa 2-3 tahun lagi sekurang-kurangnya.

Namun dengan teknologi dan persaingan sekarang, keputusan Apple untuk mengekalkan rekaan yang sama untuk masa yang lama tu mungkin harus dicongak kembali memandangkan pengguna sudah lebih bijak memilih peranti yang lebih inovatif dan pelbagai fungsi yang baru.

FAIZ ZAINAL

Penaip, pencinta teknologi, pencinta alam sekitar, jurugambar, usahawan, pengembara dan peminat aktiviti lasak.

%d bloggers like this: