HUAWEI Mate 30 Pro Mungkin Hadir Dengan Kirin 985, Skrin OLED 6.7-Inci, Bateri 4200mAh, Pengecasan Pantas 55W dan Quad-Kamera

Baru sahaja suku tahun kedua untuk tahun ini, kita sudah dihidangkan dengan ura-ura baru mengenai siri Mate dari HUAWEI iaitu Mate 30 Pro yang mungkin akan dilancarkan pada bulan Oktober tahun ini jika merujuk pelancaran siri Mate pada tahun-tahun sebelum ini.

Menerusi beberapa sumber, HUAWEI Mate 30 Pro dilaporkan bakal menggunakan panel skrin OLED bersaiz 6.71-inci QuadHD+ berbentuk lengkung dibahagian sisi seperti honor Magic. Panel skrin ini juga di tempah khas dari BOE Display, salah satu syarikat pengeluar skrin OLED dan LCD yang bertapak di Beijing, China.

Tambahan lagi, Mate 30 Pro juga mungkin akan dikuasakan dengan cip pemprosesan terbaru dari HUAWEI iaitu HiSilicon Kirin 985 bersama modem balong 5000 5G yang mempunyai sokongan sambungan internet 5G.

Dalam pada itu juga, bateri 4,200mAh yang digunakan pada Mate 30 Pro cukup besar berbanding peranti kelas atasan lain yang berada dipasaran sekarang. Pengecasan juga dikhabarkan mempunyai pengecasan pantas 55W.

Jika anda masih ingat, pengecasan pantas 55W sebelum ini pernah diperkenalkan oleh Meizu Super mCharge dan satu-satunya pengecasan paling pantas didunia yang ada dipasaran selepas OPPO Super VOOC 50W. Jika berita ini benar, maka siri Mate 30 akan merangkul pengecasan paling pantas didunia seiring dengan Meizu Super mCharge.

Berlainan dengan siri Mate sebelum ini, Mate 30 Pro akan mempunyai penaiktarafan dari segi keupayaan dan fungsi pada kamera. Kerana Mate 30 Pro juga akan dibekalkan dengan Quad-Kamera seperti HUAWEI P30 Pro atau mungkin lebih baik. Kedudukan kamera juga masih mengekalkan rekaan seperti Mate 20 Pro.