Apple Secara Rasmi Membatalkan ‘AirPower’ Kerana Gagal Mencapai Kualiti Piawaian Yang Ditetapkan

Pada 2017, Apple telah mempertontonkan produk pengecasan tanpa wayar mereka iaitu Apple AirPower. Produk ini sudah beberapa kali ditangguhkan pengeluarannya sebelum ini atas sebab yang ramai tidak pasti.

Ura-ura juga mengatakan AirPower bakal dilancarkan secara rasmi pada Apple Special Event pada 25 Mac yang lalu. Tapi tiada.

Tambahan lagi, Apple juga dilihat seakan memberi ‘lampu hijau’ terhadap AirPower dengan gambar yang diletakkan dibelakang kotak rasmi AirPods Wireless. Ramai yang merasakan AirPower bakal dilancarkan kelak.

Dan hari ini, Apple telah mengesahkan bahawa AirPower tidak akan dilancarkan. Sekaligus membatalkan projek pengeluaran AirPower.

Dilaporkan punca pembatalan AirPower adalah kerana Apple gagal mencapai piawaian kualiti yang baik buat produk ini. Menurut Apple, produk ini gagal mengecas iPhone, Apple Watch, dan AirPods secara serentak kerana mempunyai beberapa masalah termasuk masalah terlalu panas (overheat).

Hatta, Apple juga akur dan turut meminta maaf kepada pelanggan mereka yang sudah menantikan produk ini untuk beberapa tahun.