Wang simpanan CIMB untuk sekolah anak lesap kena godam

Wang simpanan ‘ghaib’ dalam akaun bank. Itu kejadian pelik menimpa beberapa individu mendakwa wang dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank hilang tanpa punca.

Kebanyakan mereka hanya menerima SMS daripada syarikat kewangan PayPal menunjukkan wang mereka dipindahkan melalui akaun CIMB yang dimiliki.

Tambah mencurigakan apabila pihak bank memaklumkan mangsa wang yang hilang dipindahkan untuk pembelian barang-barang yang pelik yang berada di luar negara tanpa pengetahuan mereka.

Mangsa, Muhd Sayuti, seorang eksekutif jualan mendakwa dia memiliki sejumlah baki gaji dalam akaun bank CIMB miliknya yang diperoleh.

“Saya masih ada baki dari gaji bulan lepas untuk tujuan anak-anak sekolah. Saya keluarkan RM500 pada hari Sabtu dan bakinya patut ada kira-kira RM1,800 pada Ahad namun saya menerima SMS bertalu-talu pada malam Sabtu menunjukkan ada 11 transaksi PayPal. Saya terkejut pada pagi Ahad, baki akaun bank hanya RM10. Bagaimana saya nak uruskan persekolahan anak-anak nanti?”

Katanya, dia cuba mengeluarkan wang di sebuah cawangan bank di Kajang, Selangor.

“Saya merujuk perkara itu dengan kakitangan bank namun dimaklumkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Sayuti berkata, dia diarahkan pihak bank supaya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini, saya pernah mendengar cerita rakan yang memberitahu duitnya hilang, tetapi tidak menyangka perkara itu terjadi kepada diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Hilman, juruteknik swasta berkata, dia kerugian RM800 apabila wang dalam bank turut lesap.

“Ada rakan memasukkan wang RM200 ke dalam akaun bank pada dua minggu lepas sebelum saya mengeluarkan RM600 pada Sabtu lepas.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati baki hanya tinggal RM56 ketika mahu mengeluarkan wang di cawangan bank itu,” katanya.

“Saya tidak pernah membuka akaun untuk PayPal dan tiba-tiba saya mendapat SMS mengatakan wang dipindahkan menggunakan akaun berkenaan. Bagaimana transaksi pemindahan boleh dilakukan melalui proses itu?

“Ketika ini, pihak bank cuma memaklumkan pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian,” katanya.