“Semua pelanggan Streamyx dapat Unifi Mac depan” – TM kata mereka tak pernah cakap macam tu, ini penjelasan mereka

Kami ingin membawa perhatian anda kepada artikel yang diterbitkan oleh BERNAMA bertajuk “TM sasar naik taraf Streamyx ke unifi menjelang Mac hadapan – Eddin Syazlee” pada 17 Disember 2018 yang telah turut dipetik oleh beberapa media dan portal berita lain.

Kami ingin memberikan penjelasan lanjut tentang petikan kata-kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Eddin Syazlee Shith yang menyatakan semua pengguna perkhidmatan Streamyx akan dinaik taraf kepada unifi menerusi Telekom Malaysia menjelang Mac tahun hadapan dan “Sekiranya pengguna berada di luar kawasan atau tidak mempunyai capaian unifi, maka alternatif yang ditawarkan ialah menaik taraf kelajuan Streamyx mereka sehingga 8Mbps atau bakal menerima capaian 4G LTE yang mempunyai tahap capaian yang lebih baik.”

Lanjutan daripada kenyataan kami bertarikh 16 Oktober dan 19 November 2018, Telekom Malaysia Berhad (TM) ingin menjelaskan bahawa pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan tanpa liputan unifi, kelajuan Streamyx mereka akan dinaikkan dua kali ganda (sehingga 8Mbps), secara percuma dan sekiranya terdapat liputan, mereka boleh memilih rumusan jalur lebar wayarles 4G LTE kami. Kami juga ingin menjelaskan aktiviti penaiktarafan ini sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan selesai menjelang suku pertama tahun 2019.

Kami mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya visi Kerajaan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk membawakan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan liputan lebih meluas kepada semua di seluruh negara menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang diumumkan baru-baru ini. Kami bersedia untuk memainkan peranan kami dalam pelaksanaan serta bagi memastikan kejayaan pelan tersebut.

Setakat ini, kami telah berjaya menaik taraf hampir 60% daripada lebih 340,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan liputan unifi kepada perkhidmatan unifi pada harga yang sama dengan pelan langganan sedia ada mereka. Kami menggalakkan baki pelanggan Streamyx yang masih belum menyertai komuniti unifi agar mengambil peluang ini untuk mendapatkan naik taraf percuma.

Kami ingin sekali lagi menyatakan bahawa buat pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan tanpa liputan unifi, kami komited untuk terus melabur dalam teknologi yang bersesuaian bagi membawakan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada mereka. Setakat ini, hampir 70% pelanggan Streamyx yang boleh dinaik taraf yang tinggal di kawasan tanpa liputan unifi, telah dinaik taraf kepada dua kali ganda kepantasan Streamyx mereka jika tiada halangan teknologi, pada harga yang sama, justeru hanya 65,000 lagi yang masih belum dinaik taraf. Seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, berikutan keterbatasan teknologi tembaga, rangkaian tembaga hanya mampu memberikan kelajuan sehingga 8Mbps.

Bagaimanapun, bagi menangani secara efektif cabaran-cabaran yang dihadapi oleh baki pelanggan Streamyx kami yang tidak dapat dinaik taraf, kami mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan pihak Kerajaan dan pemain industri lain. Kami akan terus mengambil peranan aktif dalam sesi dialog dan perbincangan yang sedang berjalan di dalam industri bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit ini bagi terus melangkah ke hadapan.

Pelanggan Streamyx yang layak menerima naik taraf kepantasan akan terus dihubungi menerusi emel dan panggilan telefon. Kami menyeru para pelanggan agar mengemaskini butiran perhubungan mereka, iaitu nombor telefon dan alamat e-mel untuk memudahkan proses ini. Pengemaskinian itu boleh dilakukan menerusi laman web unifi atau aplikasi unifi care.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: