Lelaki ini dedahkan cinta pertama beliau tapi bukan dengan perempuan

Fuji X100 generasi pertama, kamera yang anda mungkin inginkan sebelum tahun 2018 berakhir.

Tak ada sesiapa yang akan melupakan cinta pertamanya begitu juga saya dengan Fujifilm X100, siri pertama. Ia adalah cinta pertama saya yang saya lamar menggunakan duit simpanan daripada elaun sewaktu menjalani latihan industri zaman diploma dulu.

Masih saya ingat waktu itu, tahun 2016, sesudah duit simpanan mencukupi terus saya menghubungi kawan baik pada malam selepas habis waktu bekerja. Saya membelek segala butang, punat, suis yang ada, membuka segala komponen yang boleh dibuka, memerhatikan setiap skru di seluruh sudut kamera tersebut.

Apa yang boleh, semua saya lihat. Apabila sudah yakin, RM1,000 bertukar tangan dan saya balik dengan senyuman panjang lebar sehingga berbulan-bulan lamanya. Fujifilm X100 model asal, ialah selama mana yang saudara sekalian boleh ingat akan tarikh pelancarannya. Saya sendiri pun tak ingat, mungkin sewaktu saya masih bersekolah lagi. Jika ingin ditulis speksifikasinya pada standard 2018 tentunya menjadi bahan gelak di DPReview.

Namun ini bukanlah reviu teknikal yang fokusnya pada speksifikasi. Untuk kamera yang bolehlah dikira sebagai dinasor, bagiku ia masih lagi peranti yang relevan pada 2018.

Tentunya Fuji X100 mempunyai ‘kecacatan’ yang saudara rasakan tidak logik pada 2018, namun output kamera inilah yang menjadikan saya begitu cintakan kamera ini.

Benar, DSLR Nikon D600 saya memberikan gambar yang mengasyikkan dan menyelesaikan tugasan dengan efisien namun saya sedar kebelakangan ini hasil saya lebih tertumpu kepada produktiviti berbanding kepuasan peribadi itu sendiri.

Menggunakan Fuji ini seakan menggunakan kamera filem, ‘kecacatannya’ memaksa saya untuk lebih tumpukan perhatian kepada momen sebelum punat shutter ditekan.

Dan saiznya yang boleh dimasuk dalam poket membuatkan ia senjata yang senyap dan membolehkan saya ‘menyelinap’ masuk ke dalam adegan harian subjek saya tanpa sebarang was-was seperti ingin membunuh setiap kali saya menghalakan kamera saya.

Kelebihan ini tiada pada DSLR Nikon saya dan ia membolehkan saya menangkap gambar dengan lebih selesa serta selamat. Apatah lagi, bunyi shutter yang senyap membantu keseluruhan proses.

Teknologi Sistem X Fuji generasi pertama sememangnya dirasai pada kamera ini. Lingkungan kebolehgunaan ISOnya sangatlah sedikit yang mana ISO 1600 boleh memberikan anda kesan banding yang amat hodoh, tetapi mungkin akan menjadi novelti 15 tahun akan datang seperti mana grain filem ialah seni pada masa kini.

Ia tidak dibantu dengan sistem autofokusnya yang lembab di mana pencahayaan yang malap sedikit sahaja pun boleh menjadikan sistem ini pening dalam memilih subjek.

Namun jika hendak dikira faktor-faktor di atas, apakah kamera yang berfungsi dengan hebat jika pencahayaan adalah teruk? Inilah dia, ‘kecacatan’ kamera inilah yang menjadikan jurugambar itu, benar-benar seorang jurugambar. Disebalik ‘kecacatan’ ini juga anda dirahmatkan dengan warna Fujifilm yang sungguh berlainan jika dibanding dengan mana-mana jenama utama seperti Canon dan Nikon, apatah lagi Sony.

Pada saya, warna Fujifilm generasi pertama ini paling menyerupai filem slide, terutamanya jika anda bergambar pada waktu-waktu tertentu. Saya mendapati warnanya kelihatan seperti Fuji Provia yang asal jika waktu bergambar pada kira-kira pukul 8.30-11.30 pagi dan 4.30-6.30 petang dimana matahari mula memancarkan cahaya yang lebih neutral dari Golden Hour ketika ini. Ini dibantu dengan prestasi lensa yang memberikan gambar yang ‘crisp’ dan ‘3d pop’ yang klasik.

Lensa prime ini sememangnya tidak sharp dimata generasi jurugambar Sigma ART, apatah lagi jika apertur dibuka luas pada F2-F4 namun ia mempunyai karektor klasik yang tidak mungkin dapat ditiru. Tutup sedikit apertur pada F5.6-f11 dan anda akan mendapat gambar yang sharp dari sisi hujung ke hujung tetapi dengan karektor klasik yang mendefinisikan kamera ini sendiri.

Semestinya, kelebihan utama kamera ini ialah betapa ringannya ia dan saya sendiri masih terpegun akan betapa telitinya kualiti binaan kamera ini. Saya sudah pun membawa kamera ini ke Banjaran Titiwangsa meredah awan yang sentiasa hujan ke dalam gaung dan merentas sungai, namun ia masih lagi hidup dan ini sungguh membuatkan aku terkejut.

Disebabkan ini, Fuji saya tiada masalah untuk saya gunakan di kawasan bandar, jika ia sudah selamat meredah hujan, makanya bergambar harian adalah tugas mudah baginya.

Untuk RM1,000 pada 2016 yang saya bayar memberikan gambar yang tidak terkira banyaknya. Benar Fuji ini mempunyai kecacatan yang seringkali membuatkan reviewer online dan jurugambar yang up-to-date menghentam speksifikasinya dan prestasi seperti autofocus dan ISO yang ketinggalan zaman, tetapi jika anda mengejarkan output yang menakjubkan pada harga yang berpatutan ataupun jika anda masih was-was untuk melompat ke sistem Fuji dan memerlukan kamera untuk dinilai, inilah dia kameranya.

Bagi saya, Fuji X100 adalah kamera untuk artis, ini adalah kamera yang anda beli dengan hati, bukanlah dengan minda. Untuk segala kecacatan kamera ini adalah pengajaran untuk setiap jurugambar yang ingin belajar berkarya.

Dan saya bersyukur pada era ini masih wujud jenama seperti Fujifilm yang membuat kamera dengan karektor yang unik, yang semestinya membawa kepuasan pada penggunanya. Banzai, Fujifilm X100.

Ahnaf Irsyad, 23 tahun merupakan jurugambar bebas yang kini menuntut ijazah pertama di Universiti Malaya. Fotografi adalah terapinya selain menyara poketnya di universiti. Jika dia tidak berlari di atas gunung mengejar shot landscape, anda mungkin terserempaknya di jalanan Kuala Lumpur merakam adegan hidup bandar melalui street photography di hujung minggu.
Emel: [email protected]
Instagram: ahnaf.irsyad

 

 

 

Hasil gambar Ahnaf dengan kamera Fuji X100: