Telefon boleh lipat Samsung masuk Malaysia seawal tarikh ini

Share Button

Selepas beberapa bulan berteka teki mengenai bagaimana rupa telefon pintar dengan skrin boleh dilipat Galaxy X, Samsung akhirnya menyiapkan rekaannya. 

Memandangkan model terbaru syarikat itu dijangka dilancarkan pada Februari tahun depan, Samsung mengambil keputusan untuk menunjukkan hasilnya walaupun sebenarnya rekaaan itu hanya diputuskan pada saat akhir. 

Bagi pasaran Malaysia, Samsung dikatakan  mahu melancarkannya awal bagi menguji kesediaan dan pembelian memandangkan negara ini antara yang penting bagi syarikat  Korea tersebut.

Kemungkinan tarikhnya seawal Mac 2019 selepas pelancaran.

Beberapa minggu lalu, satu sumber dari syarikat itu memberitahu juruteranya tidak dapat memutuskan sama ada Galaxy X sepatutnya dilipat secara menegak seperti buku atau melintang seperti lembaran surat khabar. Bagaimanapun, menurut laporan portal berbahasa Korea, The Bell, persoalan itu sudahpun berjaya diputuskan.

Menurutnya, telefon pintar itu hadir dengan skrin utama OLED berukuran kira-kira 7.29 inci dan menawarkan pengalaman seperti tablet. Ia boleh dilipat separuh seperti buku apabila peranti itu ditutup. Bahagian luarnya juga mempunyai skrin OLED sebesar 4.6 inci yang berfungsi sama seperti model Galaxy lain. 

Galaxy X dikatakan agak tebal. Penggunaan kuasa juga akan meningkat kerana reka bentuknya yang dwi-skrin. Walaupun penggunaan kuasa boleh dikurangkan dengan hanya menggunakan satu skrin, anda tetap perlu membukanya bagi setiap interaksi tunggal – sesuatu yang Samsung tidak mahu penggunanya lalui.

Bagaimanapun, dengan tambahan skrin OLED 4.6 inc kedua di bahagian luar telefon itu pasti 

akan meningkatkan kosnya. Memandangkan harga Galaxy Note 9 sudah menelan belanja RM3,999 – dan itu hanya mempunyai satu skrin – telefon pintar lipat ini mungkin akan dijual dengan harga lebih tinggi.

The Bell turut menyatakan yang syarikat dari Korea Selatan itu, KH Vatec akan menghasilkan engsel dalam jumlah yang banyak – direka dengan tujuan untuk membolehkan telefon pintar itu dilipat dengan sempurna seolah-olah skrinnya hampir bersentuhan.

Engsel itu direka untuk meninggalkan jurang kecil antara lipatan itu dalam usaha untuk mencegah kerosakan jika ia terjatuh. Bukan itu saja, gear mekanisme yang cukup kuat untuk 

memegang skrin apabila tidak dilipat juga dimasukkan.

Samsung kini bakal memulakan pengeluaran besar-besaran bahagian yang akan dimasukkan ke dalam Galaxy X, dengan syarikat itu dijangka menghasilkan 500,000 hingga satu juta telefon bimbit setahun.

Bertepatan dengan pelancaran Galaxy X, Samsung mengemas kini gambar profil pada halaman Facebook rasminya. Imej terbaru yang menunjukkan logo Samsung terlipat sendiri itu, merupakan petunjuk yang begitu ketara mengenai kemunculan peranti itu.

Perkara itu diumumkan selepas Ketua Pegawai Samsung Mobile, DJ Koh mendakwa reka bentuk Galaxy X itu bukan hanya menjadi gimik, tetapi sebaliknya menawarkan ciri dan pengalaman terbaru kepada pengguna.

“Mungkin peranti ini akan tergolong dalam pasaran khusus sekiranya sudah mula dijual nanti, tetapi saya percaya ia pasti akan berkembang nanti. Saya positif yang kita juga memerlukan telefon jenis ini,” kata Koh.

Koh dalam temuramah dengan TheSkop is sendiri mengakui fon boleh lipat akan didapati lebih awal daripada jangkaan.

Apa komen anda?