Apa ada dalam jentera bomba – artikel ini didedikasikan kepada 6 hero bomba yang terkorban

Share Button

Perkhidmatan bomba di Malaysia bermula pada 1883 melalui penubuhan Skuad Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor diketuai H F Bellamy sertai 15 anggota.

Pada 15 Mei 1981, ia dikenali secara rasmi sebagai Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia (JPBM) dan pada 8 Januari 1997 namanya ditukar kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sejarah jabatan ini tidak lengkap tanpa menyertakan evolusi teknologi jenteranya daripada pam kuasa wap yang ditarik empat ekor kuda sehinggalah kenderaan serba moden dilengkapi pelbagai peralatan menyelamat berharga jutaan ringgit.

Dengan pelbagai saiz dan bentuk, setiap jentera JBPM mempunyai peranan agak berbeza antara satu sama lain mengikut keperluan serta keadaan kecemasan.

Jentera paling dikenali dalam perkhidmatan JBPM ialah Scania Fire Rescue Tender (FRT) berharga lebih RM2.5 juta.

Scania FRT boleh dianggap jentera terlengkap di mana ia membawa lebih 200 peralatan menyelamat pada satu-satu masa.


Scania FRT ini digunakan untuk pelbagai situasi kecemasan termasuk kebakaran, kemalangan jalan raya dan di kawasan perairan. Ia mempunyai tujuh bahagian yang menempatkan lebih 200 peralatan menyelamat.

Pada masa sama, ia mampu membawa muatan air sehingga 3,600 liter.

Antara peralatan menyelamat dibawa Scania FRT adalah tali, hos pemadam api, pemotong hidraulik, rotan pemadam api, jaket keselamatan dan alat pemotong.

Scania FRT turut dilengkapi tangga yang terletak di atasnya bagi membolehkan kerja pemadaman api atau penyelamatan dilakukan membabitkan bangunan setinggi empat tingkat.

Jika membabitkan kerja menyelamat melebihi tinggi lima meter, kami akan menggunakan jentera JBPM yang lain iaitu Light Fire Rescue Tender (LFRT) atau lebih dikenali sebagai turntable ladder.

LFRT mampu melakukan kerja menyelamat di kawasan tinggi sehingga 52 meter.

Jentera itu mampu membawa enam hingga lapan anggota serta pegawai JBPM bagi setiap operasi termasuk seorang penyelia juga pemandu.

Terdapat 18 balai JBPM di Kuala Lumpur dan setiap balai memiliki sekurang-kurangnya dua Scania FRT dengan kekuatan 980 pegawai dan anggota secara keseluruhan.

Anggota yang bertugas setiap syif bertanggungjawab memeriksa dan menyelenggara peralatan menyelamat termasuk mesin yang ada dalam jentera JBPM termasuk Scania FRT.

Biasanya, pemeriksaan dan penyelenggaraan alatan ini dilakukan dua kali sehari iaitu ketika pertukaran syif. Ia bagi mengesan sebarang kerosakan bagi memastikan peralatan berkenaan berfungsi dengan baik bagi mengelak kesukaran ketika operasi menyelamat berjalan.

Selain itu, anggota JBPM juga akan melakukan pemeriksaan peralatan sebaik selesai melakukan operasi.

Selain alat memadam kebakaran, Scania FRT turut memiliki peralatan lain yang mungkin kurang dikenali ramai. Contoh hydraulic teleram, ia digunakan untuk merenggangkan atau menstabilkan kenderaan ketika usaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap (biasanya ketika kenderaan terbalik).

Ia bukan saja memudahkan usaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap, malah memastikan keselamatan anggota JBPM yang bertugas.

Scania FRT turut dilengkapi air lifting bag yakni sejenis beg yang mampu mengangkat beban sehingga 72.5 tan.

Alat ini biasanya digunakan bagi mengangkat beban seperti kenderaan berat termasuk lori.

Ada kemalangan yang menyebabkan mangsa terperosok di bawah lori atau jentera berat dan sukar untuk dikeluarkan melainkan mengangkat beban di atasnya.

Di sinilah air lifting bag akan digunakan bagi membolehkan beban itu diangkat seterusnya mengeluarkan mangsa.

Diolah daripada artikel Harian Metro

Apa komen anda?