500,000 pelanggan Streamyx akan terus kekal 8Mbps, TM tiada sumber kewangan untuk upgrade?

Share Button

Susulan kenyataan yang dikeluarkan pada 21 September 2018 lalu, Telekom Malaysia Berhad (TM) masih kekal komitmennya untuk mempertingkatkan pengalaman jalur lebar pelanggan Streamyx dan sesi perbincangan dengan pihak Kerajaan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia masih diteruskan bagi menangani isu-isu yang dihadapi pelanggan Streamyx dengan berkesan.

TM ingin meyakinkan 2.3 juta pelanggan jalur lebarnya dan pihak berkepentingan bahawa TM memainkan peranan aktif dalam dialog dan perbincangan berterusan dalam industri ke arah membina sebuah negara digital yang lebih seimbang dan inklusif.

Ini adalah selari dengan visi TM untuk membawakan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan liputan lebih meluas di seluruh negara buat seluruh rakyat Malaysia.

TM sentiasa melabur dalam infrastrukturnya sejak sekian lama bagi menyediakan sambungan dan juga untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan-pelanggan unifi dan Streamyxnya.

Fokus utama adalah bagi memperluaskan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi di Malaysia. Rangkaian tembaga (copper network) merupakan rangkaian legasi dan sentiasa mengalami pelbagai cabaran, terutamanya keterbatasan dari segi teknologi.

Keterbatasan ini lebih ketara untuk pelanggan Streamyx, di mana rangkaian tembaga hanya mampu memberikan kelajuan sehingga 8Mbps.

Ia memerlukan penyelesaian yang lebih berbentuk jangka panjang dan lebih kekal, yang pastinya akan mengambil masa untuk dilaksanakan serta mempunyai implikasi kewangan yang ketara.

TM mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan pihak Kerajaan dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pelanggan Streamyx kami secara efektif, sehingga selesai.

Bagi melaksanakannya, TM ingin mempercepatkan perbincangan dengan pihak Kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mencari pilihan pembiayaan khusus, pelbagai teknologi yang bersesuaian dengan tujuan ini serta mengoptimumkan mekanisme sedia ada dalam industri untuk membawakan pengalaman jalur lebar lebih baik ke seluruh negara.

TM juga berkongsi perkembangan berkenaan aktiviti naik taraf pelanggan Streamyx yang sedang berjalan.

Setakat ini, TM telah selesai menaik taraf hampir 50% daripada lebih 340,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan liputan unifi kepada perkhidmatan unifi; pada harga yang sama dengan pelan langganan sedia ada mereka. Baki 170,000 pelanggan Streamyx yang masih belum menyertai komuniti unifi digalakkan agar mengambil peluang ini untuk mendapatkan naik taraf percuma. TM menyasarkan untuk melengkapkan aktiviti naik taraf unifi ini menjelang Mac 2019.

Buat para pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan tanpa liputan unifi, TM komited untuk terus melabur dalam teknologi yang bersesuaian bagi membawakan kepada mereka sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Sementara itu, di kawasan yang tiada halangan teknologi, TM akan menggandakan kelajuan Streamyx pada harga yang sama dengan pelan jalur lebar sedia ada mereka. Hampir 180,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan-kawasan bukan unifi boleh menantikan naik taraf secara percuma ini. TM menyasarkan untuk melengkapkan aktiviti naik taraf ini menjelang Disember 2018.

Pelanggan Streamyx yang layak menerima naik taraf kepantasan akan terus dihubungi menerusi emel dan panggilan telefon. TM menyeru para pelanggan agar mengemaskini butiran perhubungan mereka, iaitu nombor telefon dan alamat e-mel untuk memudahkan proses ini. Pengemaskinian itu boleh dilakukan menerusi laman web unifi atau aplikasi unifi care.

Namun, untuk menaik taraf baki 500,000 pelanggan Streamyx, TM mempelawa pihak Kerajaan untuk berbincang bagi segera mencapai keputusan yang memberi manfaat bersama buat golongan pelanggan ini.

TM terus komited dengan hasratnya untuk menjadikan hidup lebih mudah demi kesejahteraan Malaysia. Dalam usaha memberikan penyelesaian yang lebih muktamad bagi membawakan pengalaman jalur lebar yang lebih baik dan gaya hidup digital yang lebih dipertingkatkan kepada semua pelanggan, TM menghargai kepercayaan dan kesetiaan para pelanggannya; serta mengharapkan kesabaran dan sokongan berterusan anda.

Comments

  1. aril

    pd hal boleh ja collaborate dgn TNB/TIME utk kerjasama bangun infra utk unifi sama-sama. tp bila dah nak monoppoli dan tak mau agensi lain kaut keuntungan, tulah jadinya…langsung tak dak long term plan tm ni!!!

Apa komen anda?