4 telco dah turunkan harga Internet jalur lebar

Share Button

Sehingga kini, empat telco sudah menurunkan harga Internet dalam pakej jalur lebar talian tetap dengan harga serendah RM89.

Telekom Malaysia (TM), Maxis, TIME dotcom (TIME) dan Celcom telah mengumumkan pakej-pakej jalur lebar talian tetap yang baru ekoran saranan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk menawarkan jalur lebar talian tetap pada harga yang lebih berpatutan kepada rakyat, lanjutan
daripada pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP).

Kesemua syarikat telekomunikasi kini menawarkan pakej permulaan di bawah
RM100, berserta pakej-pakej yang menawarkan kelajuan yang lebih tinggi pada harga yang lebih rendah.

Pada bulan Jun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia telah mengumumkan bahawa menerusi pelaksanaan MSAP untuk jalur lebar talian tetap, kerajaan menjangkakan harga jalur lebar akan dikurangkan sekurang-kurangnya sebanyak 25% menjelang 31 Disember 2018 sementara kadar kelajuan yang lebih tinggi
akan turut disediakan.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan MSAP itu telah menyaksikan pengurangan harga lebih daripada 30% untuk pakej-pakej permulaan tersebut.

Kelajuan yang lebih tinggi – Selain daripada pakej-pakej permulaan, syarikat-syarikat telekomunikasi turut mengumumkan peningkatan kelajuan pada harga yang sama. Dalam kes tertentu, seperti TM, kelajuan telah meningkat 10 kali ganda.

Begitu juga dengan syarikat-syarikat telekomunikasi lain yang turut memperkenalkan pakej-pakej berkelajuan tinggi dengan TIME memperkenalkan pakej permulaan Gigabit pada harga RM199. Ini adalah kali pertama pakej jalur
lebar Gigabit diperkenalkan kepada sebahagian besar segmen penduduk di Malaysia.

Pelaksanaan MSAP dan penurunan harga ekoran pelaksanaan tersebut adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan jalur lebar yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia pada harga yang berpatutan. Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk terus meningkatkan kualiti jalur lebar di Malaysia.

Comments

Apa komen anda?