TM jawab isu Streamyx dengan berita baik katanya

Share Button

Telekom Malaysia Berhad (TM) akan menggandakan kelajuan Streamyx tanpa sebarang kos tambahan kepada bil jalur lebar di kawasan yang tiada halangan teknikal.

Mengulas tentangnya, Imri Mokhtar, Naib Presiden Eksekutif, unifi, berkata TM akan menggandakan kelajuan Streamyx tanpa sebarang kos tambahan kepada hampir 180,000 pelanggan Streamyx yang boleh menantikan naik taraf secara percuma ini.

“Pelanggan Streamyx yang layak untuk menikmati naik taraf kelajuan tersebut akan dihubungi melalui e-mel dan panggilan telefon. TM menyeru para pelanggan agar mengemaskini butiran perhubungan mereka, contohnya; nombor telefon dan alamat e-mel untuk memudahkan proses ini. Ini boleh dilakukan menerusi laman web unifi atau aplikasi unifi care,” kata Imri.

Kepada pelanggan Streamyx yang lain, TM sedang berusaha untuk memberi penyelesaian yang lebih muktamad dan telahpun mengadakan sesi-sesi perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan utama bagi menyediakan pengalaman jalur lebar yang lebih baik ke seluruh negara dengan meneroka pelbagai teknologi yang tepat dan bersesuaian.

TM menyatakan, ia terus menyatakan sokongan terhadap aspirasi kerajaan untuk meningkatkan capaian dan pengalaman perkhidmatan jalur lebar di Malaysia, serta komitmen untuk menangani isu yang dialami oleh Streamyx dan pelanggan setianya dengan cara yang lebih komprehensif.

“TM telah membuat pelaburan secara berterusan untuk mempertingkatkan kedua-dua rangkaian fiber dan rangkaian tembaga (copper network) dari masa ke semasa, bagi membawakan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan liputan di seluruh negara yang lebih meluas. Rangkaian tembaga ini merupakan rangkaian legasi dan senantiasa mengalami pelbagai cabaran, terutamanya keterbatasannya dari segi teknologi. Ia memerlukan penyelesaian yang lebih kekal dan berbentuk jangka panjang, yang pastinya akan mengambil masa untuk dilaksanakan,” kata Imri.

Selain itu, TM terus melabur dalam pelaksanaan rangkaian 4G LTE dan WiFi hotspot bagi melengkapi rangkaian talian tetapnya untuk penyediaan perkhidmatan jalur lebar di mana-mana sahaja, pada setiap masa menerusi [email protected], [email protected] dan [email protected] Liputan perkhidmatan 4G LTE TM pada masa ini telah melebihi 77% populasi isi rumah di kawasan bandar dan luar bandar; malah bersama-sama rakan kongsi, liputan tersebut diperluaskan lagi menerusi perkhidmatan 3G melangkaui 90%.

Menerusi Pelan Penambahbaikan Jalur Lebar yang telahpun dimulakan sejak 2016, TM telah berusaha keras untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan unifi dan juga Streamyx secara serentak. Umum mengetahui bahawa, adalah lebih mudah untuk melaksanakan peningkatan kelajuan internet unifi, yang ditawarkan menerusi fiber.

TM kini memberi lebih penekanan dan fokus kepada pelanggan Streamyx dan pelanggan jalur lebar di bangunan tinggi yang menerima perkhidmatan menerusi rangkaian tembaga (copper network) milik TM atau milik pengurusan bangunan tersebut.

Imri Mokhtar, Naib Presiden Eksekutif, unifi, berkata: “Lebih daripada 1 juta pelanggan kediaman dan perniagaan di seluruh negara pada hari ini adalah pelanggan jalur lebar menerusi rangkaian tembaga (copper network) TM – di premis aras tanah dan bangunan tinggi.

Dengan meningkatnya permintaan terhadap gaya hidup yang lebih digital serta keperluan perniagaan, apa yang dahulunya dikenali sebagai ‘internet berkelajuan tinggi’, mungkin tidak bersesuaian lagi.

Berdasarkan analitik pelanggan dan rangkaian, lebih 340,000 pelanggan berada di kawasan jalur lebar fiber, tetapi masih belum lagi menjadi sebahagian daripada 1.26 juta komuniti unifi. Sehingga kini, kami telahpun berjaya menaik taraf hampir 50% daripada pelanggan ini kepada unifi, tanpa sebarang kos tambahan pada bil bulanan sedia ada mereka. Kami menyeru pelanggan untuk mengambil peluang naik taraf yang menarik ini dan membantu kami melengkapkan proses naik taraf ke unifi yang sedang dijalankan sehingga Mac 2019,” tambah beliau.

Comments

Apa komen anda?