Kanak-kanak lebih gemar tonton YouTube berbanding main game – kata Kaspersky

Share Button

Laporan terbaru modul Kawalan Ibu Bapa oleh syarikat pembangun dan penyedia sistem keselamatan siber serta antivirus, Kaspersky Lab mendedahkan aktiviti online kanak-kanak di seluruh dunia sepanjang musim panas berdasarkan apa yang ditonton, didengari, dibeli dan dicari oleh mereka.

Kajian yang dibuat dari Jun hingga pertengahan Ogos lalu menunjukkan, kanak-kanak lebih cenderung menonton kandungan video dan mendengar muzik di Youtube daripada menghabiskan masa di media sosial. Mereka juga gemar menonton pelbagai siri televisyen di Netflix, dengan kanak-kanak lebih muda memilih saluran Nickelodeon, Cartoon Network dan Disney.

Bagi muzik pula, mereka menggunakan perkhidmatan penstriman seperti Spotify, Soundcloud dan iTunes untuk mendengar lagu. Kematian rapper terkenal XXXTentacion musim panas lalu secara tidak langsung menyebabkan genre rap lebih popular apabila kanak-kanak memilih untuk mendengar lagu penyanyi terbabit berbanding artis lain.

Selain itu, mereka juga mengunjungi laman berita seperti BBC, CNN dan BuzzFeed dengan lebih kerap selain menghabiskan masa menyemak status dan skor terkini Piala Dunia FIFA 2018. Permainan online turut memainkan peranan dengan laporan menyatakan kanak-kanak lebih berminat bermain Fortnite daripada permainan popular PUBG.

Tidak hanya itu, sepanjang musim panas ini kanak-kanak semakin menunjukkan minat untuk mengunjungi kedai secara atas talian seperti Ebay, Amazon, Aliexpress, ASOS dan H&M.

Bagaimanapun perlu diingatkan, selain permainan, video dan muzik, terdapat segelintir kanak-kanak cuba membuat carian laman sesawang lucah. Tetapi itu tidak akan berlaku sekiranya ibu bapa mereka mengambil langkah untuk menyekat laman seumpama itu.

Semua statistik ini diambil dari produk utama Kaspersky Lab yang modul Kawalan Ibu Bapanya dihidupkan dan dari Kaspersky Safe Kids, perkhidmatan mandiri yang dipasang untuk perlindungan online kanak-kanak.

Pakar Analisis Kandungan Web di Kaspersky Lab, Anna Larkina berkata, statistik yang diperoleh itu menunjukkan minat kanak-kanak dan remaja seluruh dunia hari ini. Oleh sebab itu pihaknya mengesyorkan penggunaan produk kawalan ibu bapa bukan hanya untuk menyekat kandungan berbahaya, tetapi turut membantu ibu bapa mengetahui minat dan keinginan anak mereka.

“Kebanyakan program perisian termasuk dari Kaspersky Lab, membenarkan ibu bapa melihat laporan mengenai aktiviti online anak mereka. Biasanya laporan seperti ini tidak akan mendedahkan sebarang maklumat peribadi. Pada pendapat kami, pengetahuan ibu bapa mengenai apa yang anak mereka lakukan online sepatutnya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, membantu mereka bercakap lebih terbuka dan mengelak ancaman lebih serius seperti buli,” katanya.

Penyelesaian pengguna Kaspersky Total Security and Kaspersky Internet Security ini termasuk modul Kawalan Ibu Bapa untuk membantu orang dewasa melindungi anak mereka daripada anacaman online an menyekat laman sesawang atau aplikasi yang mengandungi kandungan tidak senonoh.

Hasilnya, penyelesian Kaspersky Safe Kids membenarkan ibu bapa memantau apa yang anak mereka lakukan, lihat atau cari online menerusi semua peranti selain menawarkan nasihat berguna tentang bagaimana untuk membantu kanak-kanak berkelakuan baik online.

 

Apa komen anda?