Berapa harga pelan internet jalur lebar paling ‘ngam’ di Malaysia?

Share Button

Berapakah harga paling sesuai untuk jalur lebar fiber di Malaysia? Dengan perang harga yang ada, adakah ia cukup murah untuk warganegara ini menikmati internet sedia ada?

Berdasarkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia pada Jun 2018 oleh Kumpulan Bank Dunia (https://bit.ly/2MdCqQs) menyatakan pengguna Malaysia membayar harga yang lebih tinggi untuk akses jalur lebar berkelajuan tinggi berbanding pengguna di negara lain.

Menurut hasil kajian dalam laporan berkenaan, Malaysia menduduki tangga ke 74 daripada 167 negara bagi perkhidmatan jalur lebar tetap dari segi harga untuk setiap Mbps.

Kedudukan ini meletakkan Malaysia jauh ketinggalan di belakang negara serantau seperti Vietnam dan negara yang mempunyai tahap pembangunan ekonomi yang sama dengan Malaysia seperti Mexico dan Turki.

Sebagai sebuah forum yang menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia serta melindungi kepentingan pengguna, CFM menjalankan tinjauan melalui undian secara atas talian pada bulan Julai lepas untuk mengetahui pilihan pengguna tentang penggunaan perkhidmatan jalur lebar di Malaysia.

Seramai 1,800 orang pengguna mengambil bahagian dalam undian berkenaan.

Hasil daripada undian yang dijalankan menunjukkan sebanyak 67.5% pengguna memilih pakej internet jalur lebar tetap dengan kuota tanpa had pada kelajuan 100Mbps bagi harga RM89 sebagai pakej ideal yang dapat memenuhi keperluan mereka.

Selain itu, sebanyak 50.8% pengguna mempunyai langganan internet antara RM100 hingga RM200, manakala sebanyak 85.8% pengguna tidak berpuas hati dengan kelajuan internet mereka.

Ini menunjukkan pengguna di Malaysia berharap untuk dapat menikmati perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dengan harga mampu milik sesuai dengan kelajuan penggunaan di rumah. Untuk melihat hasil undian tersebut, boleh merujuk pautan berikut:

“Sebagai sebuah forum pengguna proaktif yang ditugaskan untuk terlibat dan menjalankan penyelidikan mengenai perkara-perkara di dalam bidang kuasa CFM, kami akan terus melakukan usaha untuk mengumpulkan pendapat daripada orang awam yang akan memberikan pandangan yang bermakna kepada CFM dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi penambahbaikan industri,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato Yusoff.

 

Apa komen anda?