TM masih cetak 1.65 juta bil

Telekom Malaysia Berhad (TM) melaksanakan bil elektronik tanpa kertas (e-Bil) kepada semua pelanggan Jalur Lebar dan telefon yang masih belum memilih untuk menerima bil secara elektronik bermula 10 September 2018.

Ia diperkenalkan sejajar dengan trend industri yang telah berubah kepada gaya hidup digital dan salah satu langkah ke arah masa depan yang lebih hijau dan mesra alam. Menerusi e-Bil, semua pelanggan akan mula menerima versi pdf bil mereka menerusi emel dan Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS).

Buat masa ini, e-Bil adalah salah satu pilihan yang disyorkan kepada semua pelanggan. Dengan pelaksanaan e-Bil secara menyeluruh ini, pilihan bil bercetak akan dihentikan.

Mengulas mengenai pelaksanaan e-Bil, Imri Mokhtar, Naib Presiden Eksekutif, unifi berkata: “Pelaksanaan e-Bil sebagai cara pengebilan yang standard akan memberikan lebih kemudahan kepada para pelanggan kami – tiada lagi kertas bercetak yang tidak lagi praktikal pada masa kini serta akses mudah untuk semakan bil secara online pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“e-Bil merupakan cara mesra alam yang menerima, menyemak dan membayar bil anda. Anda akan menerima bil anda tepat pada masanya dengan selamat menerusi emel yang disertakan pautan untuk membuat pembayaran secara online.

“Hari ini, 1.65 juta bil masih dicetak dan dihantar setiap bulan kepada pelanggan jalur lebar dan telefon yang masih belum memilih pilihan bil secara elektronik di seluruh negara. Bermula 10 September 2018, kami akan memperluaskan pelaksanaan bil elektronik kepada semua pelanggan kami (pelanggan kediaman dan PKS yang melanggani perkhidmatan jalur lebar dan telefoni) untuk membolehkan mereka menguruskan dan membuat pembayaran bil bulanan mereka dengan lebih cepat, mudah, tanpa sebarang kerisauan. Kami percaya langkah ini akan memudahkan lagi pelanggan kami untuk mengakses penyata bil setiap bulan dan menguruskan rutin pembayaran bil mereka dengan lebih cekap.” katanya.

Dengan e-Bil, pelanggan akan dimaklumkan tentang bil bulanan mereka dengan lebih pantas di mana mereka akan menerima salinan pdf bil bulanan menerusi makluman di e-mel dan SMS yang akan menyatakan nombor akaun, jumlah bil dan tarikh akhir pembayaran dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh bil mereka.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: