Huawei mahu kuasai dunia, jumlah paten mengejutkan

Share Button

Huawei mempunyai fokus yang serius untuk memasarkan produk telefon bimbitnya di rantau Asia Pasifik selari dengan perkembangan serta trend teknologi dikaji dengan mendalam sebelum memperkenalkan sesuatu produk yang boleh diterima pasaran.

Syarikat dari China ini mendakwa, pada 2017 ia sudah membelanjakan sebanyak 10.4 bilion euro (kira-kira RM54 bilion) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ia sekaligus meletakkan Huawei sebagai syarikat keenam tertinggi di dunia dalam perbelanjaan R&D.

Naib Presiden Perniagaan Telefon Pintar Huawei, Fang Fei, berkata pelaburan itu lebih tinggi berbanding ap ayang dibelanjakan Apple.

“Kami melabur 10.4 bilion euro pada 2017, ia mengalahkan Apple. Saya percaya pada masa depan kami akan menguasai telekomunikasi,” kata Fang Fei ketika taklimat yang dihadiri TheSkop di Huawei Exhibition Hall, Beijing.

Jumlah pelaburan dijangka menghasilkan inovasi dalam bidang teknologi yang kemudiannya dipatenkan. Fang Fei berkata, pada tahun 2017 terdapat lebih daripada 2,000 paten yang dikemukakan kepada Kesatuan Eropah (EU).

“Kami juga kerja keras untuk paten. Kami nombor satu apabila bercakap soal paten di seluruh dunia. Ada 2,398 paten yang dihantar pada 2017 dan hasilnya lebih 74 ribu item berjaya dipatenkan,” katanya.

Dalam sekitar 74 ribu item yang dipatenkan, Fang Fei menyebut jumlah itu adalah pengumpulan semua item dalam kumpulan Huawei.

Beliau berkata Huawei kini mempunyai 14 R&D dan 36 Pusat Inovasi Bersama di seluruh dunia, salah satunya adalah di Beijing.

“Di Beijing, banyak makmal bertaraf dunia di mana prosesnya sangat kompleks, keupayaan penyelidikan dibina dengan industri yang kuat,” katanya.

Apa komen anda?