Teknologi undi baru OKU penglihatan

Share Button

“Penggunaan sistem undi berkomputer lengkap dengan bunyi suara menyatakan nama calon bertanding dapat membantu golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sekiranya diaplikasikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” kata Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu Mohd Fauzi Mansor seperti dilaporkan Harian Metro.

“Sekiranya individu OKU tidak pandai menggunakan komputer, mereka boleh meminta bantuan petugas namun dengan adanya bantuan suara maka sukar untuk berlaku ketirisan walaupun petugas membantu membuat undian,” katanya.

Menurutnya, sistem pengundian berkomputer bakal digunakan PERTIS dalam pemilihan jawatankuasa persatuan mereka Sabtu depan itu lebih praktikal berbanding sistem lama menggunakan kaedah konvensional iaitu penggunaan kertas yang tercatat titik Braille.

“Seperti sistem yang bakal digunakan PERTIS dalam pemilihan Sabtu ini, walaupun ada ahli kita tidak mahir menggunakan komputer namun mereka boleh meminta bantuan petugas dan kecanggihan aplikasi ini mengeluarkan bunyi nama calon.

“Selepas undian dibuat, sistem ini memberitahu nama yang diundi disimpan di dalam sistem. Ini memberi lebih keyakinan kepada pengundi cacat penglihatan,” katanya.

Katanya, begitu juga cara pengundian bagi PRU yang sepatutnya diaplikasikan dengan penggunaan sistem berkomputer bersuara. Ia membolehkan OKU cacat penglihatan berdikari untuk ke saluran pengundian dan membuat undian tanpa bantuan orang lain.

“Sistem pertama di Asia Tenggara dan kedua di Asia selepas Jepun ini dibangunkan dua tenaga pensyarah dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan ia amat membantu golongan OKU cacat penglihatan,” katanya selepas menguji sistem undian berkomputer di PERTIS Wilayah Terengganu di sini.

Menurutnya, menerusi kaedah sekarang, OKU cacat penglihatan dibenarkan membawa seorang teman dipercayai untuk memangkah kertas undi dalam PRU.

“Tidak mustahil kita suruh lain dia pangkah lain, maklumlah kita tidak nampak, tetapi dengan sistem ini kita boleh dengar dan tahu mana yang kita inginkan serta ia lebih telus,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Informatik dan Pengkomputeran UniSZA Kampus Besut Ahmad Faisal Abidin berkata, pihaknya membangunkan sistem itu sejak dua bulan lalu dengan bantuan rakannya iaitu Mohd Kamir Yusof, yang juga pensyarah.

Apa komen anda?