Apa nak jadi SKMM? Harapkan pagar, pagar makan padi

Share Button

Sedang sedap Sam menikmati pisang goreng dan keropok lekor hari ini, tiba-tiba bunyi fon berdering sekali tanda mesej masuk.

Hari ini hari yang sibuk. Selain bertalu-talu mesej melalui WhatsApp masuk, panggilan pun tak putus-putus. Banyak urusan penting perlu diselesaikan jadi semua Whatsapp, panggilan si polan dan polan perlu berjawab kemudian sibuk membalas emel yang semuanya dilakukan melalui telefon. Memang mudah zaman IT canggih ini.

Berbalik kepada mesej tadi. Sam ingatkan ia datang daripada individu yang penting dan perlu segera dibalas tapi terkejut apabila mesej tersebut berbunyi:

“Meraikan 20 tahun Akta Komunikasi & Multimedia 1998. Rakyat terus mengecapi nikmat kemajuan teknologi. Jadilah rakyat digital yang HEBAT!”

 

Sam terkejut kerana ingatkan ia datang daripada mana-mana telco tapi haaaa…tengok ‘sender’nya, MCMC atau nama penuhnya SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA. Ia sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab tentang hal ehwal komunikasi termasuk berkaitan maklumat peribadi, data dan multimedia.

Menerima mesej sedemikian daripada agensi tersebut memang mengecewakan. Kerana apa? Di kala kita melaporkan pelbagai masalah data peribadi yang tidak tahu dari mana bocornya, agensi yang menjadi pendinding sendiri menghantar mesej (SMS) kepada pengguna (dalam kes ini, sayalah).

Sam menyemak jika ada rakan lain menerima mesej sama dan memang tepat, Sam tidak keseorangan kerana ada rakan lain turut menerima mesej SMS yang sama.

Apa besar isunya menerima SMS? Buat diam atau abaikan sajalah. Mungkin ada yang bertanyakan soalan ini. Benar, kita boleh tutup sebelah mata dan buat bodoh tapi jika ia datang daripada syarikat judi, bank dan sebagainya mungkin boleh was lagi berbuat demikian tapi ini agensi kerajaan yang bertanggungjawab dan dinding kepada maklumat peribadi kita.

Meskipun mesej SMS tersebut berminat baik, SKMM (ya SKMM bukan ahlong atau ceti haram) patut mendapat kebenaran terlebih dulu.

Lagipun, dari mana SKMM mendapat maklumat (dalam kes ini, nombor telefon Sam)? Hubung kait Sam dengan SKMM hanyalah ketika Sam membuat dua tiga aduan tentang khidmat telco tak memuaskan, kandungan internet dan maklumat peribadi disalahguna. Tup tup SKMM sendiri menyalahguna data yang dihantar kepada pengguna.

Sudahlah begitu. Aduan Sam tidak pernah berbalas tapi SMS begins boleh pula dihantar. Sam tak pernah benarkan SKMM menggunakan nombor telefon Sam sebagai lubuk pemasaran.

Kalau SKMM pun begini, tak hairan bank-bank dan banyak lagi syarikat yang sewenang-wenangnya menggunakan nombor telefon peribadi ini dan banyak lemak betul.

Apa nak jadi pada SKMM ini? Teguran ini datang kerana ada had yang anda sebagai agensi perlu teliti. Ini zaman IT. Undang-undang perlu ada tapi kalau SKMM sendiri melanggar undang-undang yang sedang dikuatkuasakan, kepada siapa lagi kita harus bergantung?

Jangan lupa ya, SMS yang di’blast’ begini pastinya memerlukan kos. Berapa kosnya menghantar SMS kepada rakyat? SKMM yang diselia kerajaan pasti beroperasi berdasarkan cukai rakyat. Ingatlah belanja-belanja tu.

Comments

Apa komen anda?