[MWC18] Samsung Galaxy S9, S9+ masuk Malaysia, satu warna fon yang tak dijangka

Share Button

Semua jadi punca! Menurut Samsung, lebih 1.2 trilion foto diambil pada 2017 yang menjadi PUNCA jurutera Samsung mencipta model terbaru Samsung Galaxy S9 dan S9+ lebih mantap dari aspek kamera.

Trend mendapatkan fon dengan warna yang berbeza dengan warna Pantone menjadi sasaran pengeluar juga menjadi PUNCA mengapa Samsung memperkenalkan buat kali pertama warna ungu untuk model Galaxy S9 dan Galaxy S9+.

TheSkop yang ketika ini di Barcelona sedang menyaksikan pelancaran Samsung Galaxy S9 dan S9+ dan ini spesifikasi yang dinantikan pengguna.

Perubahan terbaru pada kamera dengan sistem yang membezakan waktu siang dan malam (terang atau gelap). Sistem kamera baru menyaksikan apertur f2.4 pada waktu cerah dan mampu menjangkau apertur f1.5 pada waktu gelap.

Jadi, ia menghasilkan gambar yang jelas meskipun anda mungkin berada di gua pada waktu itu dengan penambahan 28% lebih cahaya.

Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ mempunyai ‘multi frame noise reduction’ yang membuang gambar yang pecah dengan merakam lebih 12 gambar pada satu masa dan menyatukannya bagi mendapatkan gambar lebih baik.

Super Slo Mo

Kemudian, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang pula dengan kejutan rakaman super slo mo 960fps di mana sebelum ini ia hanya dipanggil slo mo pada 240fps saja. Hasilnya, anda boleh menyaksikan gambar gerak perlahan yang detail dan jelas.

Slo mo ini juga mempunyai motion detect automatik yang bermakna ia mampu merakam apa saja dengan pantas meskipun anda mungkin tidak bersedia ketika momen itu di depan mata.

Super slo mo juga boleh dijadikan fail GIF dan lebih menarik, teruskannya menjadi wallpaper bagi Galaxy S9 dan Galaxy S9+ anda.

Emoji AR

Ya, kali ini Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang dengan emoji AR yang lebih realistik malah anda boleh mencipta sendiri emoji dengan wajah sendiri dan menukar beberapa perkara seperti baju, cermin mata dan banyak lagi.

Selain itu, ekspresi wajah pada emoji juga seakan animasi yang ‘real’ dan boleh berkongsi emoji tersebut kepada rakan.

Hiburan

Kali ini, Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang dengan sistem audio hasil kerjasama dengan AKG dan Dolby Atmos yang membawa audio lebih kuat tanpa pembesar suara tambahan.

Bixby

Diperkenalkan tahun lepas, Bixby pada Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ mempunyai terjemahan secara langsung lebih jelas.

Di samping itu, ia juga mempunyai AR yang boleh mengesan restoran terdekat misalnya dengan menghalakan kamera anda ke depan.

Manakala ciri Food membolehkan ia melihat jumlah kalori dalam makanan yang anda sedang makan.

DEX

Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ kali ini juga mempunyai DEX baru yang bukan lagi berbentuk bulat dan memperlihatkan fon yang menegak apabila dipasang.

DEX kini dibaringkan dengan rekaan empat segi dan dipasang Galaxy S9 dan Galaxy S9+ dengan cara dibaringkan.

Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ juga kekal dengan ciri kalis air dan debu IP68 tapi dengan prosesor baru dan mengekalkan jek audio 3.5mm.

Galaxy S9 dan Galaxy S9+ juga mempunyai memori tambahan dengan microSD sehingga 400GB.

Manakala cas telefon juga lebih pantas dengan fungsi cas tanpa wayar.

Kali ini, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ mempunyai akses pada pengesan wajah dengan Samsung Know 3.4.2.

Spesifikasi Galaxy S9 dan Galaxy S9+

Berkongsi prosesor sama, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang dengan cip 10nm 64 bit jenis octa core.

Galaxy S9 mempunyai saiz skrin 5.8 inci QuadHD+ curved super AMOLED 18.5:9 manakala Galaxy S9+ pula 6.2 inci dengan format sama.

Keduanya juga mempunyai rangkaian internet lebih pantas dengan menarik lebih banyak isyarat dalam telefon.

Galaxy S9 mempunyai kamera 12MP AF di belakang dengan 8MP f1.7 di depan tapi Galaxy S9+ lebih hebat dengan dwi kamera (lengkap OIS) dengan satu lensa sudut lebar 12MP manakala satu lagi telefoto 12MP f2.4.

Kamera depan Galaxy S9+ lengkap 8MP f1.7.

Galaxy S9 dan Galaxy S9+ masing-masing mempunyai bateri berkapasiti 3000mAh dan 3500mAh.

Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ kali ini datang dengan Android Oreo 8.0 selain USB-C dan NFC.

Samsung Pay juga dikekalkan pada dua-dua fon ini.

Manakala empat warna ditawarkan bagi kedua-dua fon ini iaitu hitam, kelabu, biru dan ungu. Samsung Galaxy S9, S9+ akan memasuki pasaran Malaysia pada minggu pertama Mac 2018 dengan harga bermula RM3,299.

S9+ mempunyai dua lensa direka atas bawah

 

S9+ dengan dua lensa

Apa komen anda?