Kamera DSLR untuk selfie, biar betul Fujifilm

Share Button

Semi DLSR untuk swafoto? Ya, itulah yang ditawarkan Fujifilm Malaysia melalui model X-A3 yang menjadi kamera digital ‘mirrorless’ paling kecil dan ringan dalam siri X.

Menggabungkan sensor 24.2 megapiksel baharu dan teknologi penghasilan semula warna tersendiri siri X, kamera X-A5 menawarkan pelbagai ciri baru termasuk lensa zoom yang baru dicipta, rakaman filem 4K, skrin sentuh dan teknologi gandingan terkini bluetooth untuk pemindahan imej pantas.

Kamera X-A5 menampilkan reka bentuk retro yang tidak ditelan zaman, dengan ciri-ciri kontemporari yang pasti menarik perhatian apabila pengguna mula berswafoto atau mengambil gambar sesuatu yang dekat di hati mereka.


Kamera ini menjadi teman sejati generasi swafoto yang muda lagi bergaya, terutamanya kaum wanita yang sentiasa mencari pengalaman fotografi dan swafoto terbaik dalam dunia digital hari ini yang pantas berubah.

Apabila digabungkan dengan lensa baru FUJINON XC15-45mm F3.5-5.6 OIS PZ, kamera X-A5 hanya seberat 496g, menjadikannya kombinasi kamera-lensa zoom paling ringan dalam siri X. Ia jauh lebih ringan dan padat berbanding DSLR tetapi tetap mampu mengambil gambar bermutu tinggi.

Kamera ini lebih sempurna daripada telefon pintar kerana dilengkapi dengan pelbagai filter kreatif dan sambungan tanpa wayar untuk membolehkan pengguna mengambil, menambah baik dan memuat naik gambar mereka ke media sosial dalam masa beberapa saat. Ia mempunyai sensor berkuasa 24.2MP APS-C yang dilengkapi dengan sistem autofokus pengesanan fasa, dan enjin pemprosesan imej serba baharu dengan kelajuan pemprosesan 1.5 kali lebih pantas daripada model terdahulu.

 
Digabungkan dengan kualiti imej luar biasa terkenal Fujifilm serta teknologi penghasilan semula warna, X-A5 direka cipta untuk gambar potret serba canggih dan sangat sesuai bagi golongan millennial yang ingin menghasilkan swafoto yang sempurna.

Kamera X-A5 dilengkapi dengan monitor LCD belakang besar yang boleh berputar 180 darjah. Apabila panel diputarkan 180 darjah, Tombol Arahan Belakang bertukar secara automatik kepada fungsi Zoom dan Pelepasan Pengatup untuk memastikan swafoto dapat diambil tanpa sebarang kesilapan.

Putaran 180-darjah monitor LCD belakang juga mengaktifkan fungsi Mata AF secara automatik untuk menghasilkan potret diri bermutu tinggi dengan fokus tajam pada mata subjek. Mod Penambahbaikan Potret yang sememangnya popular membolehkan pengguna memaparkan warna kulit yang lebih cantik.

Ciri ini telah ditambah baik dengan antara muka pengguna baru. Pengguna boleh memilih daripada tiga peringkat penambahbaikan warna kulit menerusi operasi skrin sentuh untuk potret diri yang mudah, semula jadi dan lebih menawan.
 
X-A5 menawarkan 11 pilihan Mod Simulasi Filem unik Fujifilm, memudahkan usaha menambah baik karya seni dengan penghasilan semula iras warna mirip filem. Kamera juga menyediakan 17 pilihan filter lanjutan termasuk ciri baharu “Hilangkan Kabus” dan “Seni HDR”.
 
Monitor LCD belakang menggunakan antara muka grafik (GUI) panel sentuhan baharu, memudahkan operasi panel sentuh mengikut gerak hati menggunakan hujung jari supaya anda boleh menyemak kesan Turas Lanjutan dan Simulasi Filem untuk meningkatkan kemudahan penggunaan.

Selain daripada itu, X-A5 menyediakan fungsi Video HD Kelajuan tinggi, membolehkan pengguna merakamkan video HD pada kelajuan empat kali ganda untuk paparan gerak perlahan.

Mod Berbilang Fokus menyusun imej berkualiti 4K secara automatik, sambil mengubah kedalaman penetapan medan yang diperlukan dengan pintar. Fungsi Ledakan 4K yang merakamkan 15 gambar sesaat dalam kualiti imej 4K turut disediakan.

Keupayaan video 4K baru ini dan fungsi yang sedia ada membolehkan tahap kreativiti lebih tinggi dipersembahkan dalam karya seni.
 
Teknologi Tenaga Rendah Bluetooth® diterapkan ke dalam X-A5 untuk pemindahan gambar pegun dan video yang pantas, mudah dan automatik kepada telefon pintar dan tablet yang digandingkan dengannya, menggunakan aplikasi peranti pintar “FUJIFILM Camera Remote”. Kamera ini juga serasi dengan pencetak Instax SP-3 FUJIFILM.

Kamera X-A5 menggunakan reka bentuk menjimatkan tenaga yang membolehkannya mengambil lebih banyak gambar setiap pengecasan berbanding kamera lain yang setarafnya. Pengguna boleh merakamkan sehingga 450 gambar setiap kali bateri dicas, menjadikan kamera ini sesuai untuk dibawa melancong dan mengambil gambar dalam perjalanan, sepanjang hari.
 
Fujifilm X-A5 disediakan dalam warna perak, coklat dan merah jambu, pada harga runcit RM3,288, dan dilengkapi FUJINON XC15-45mm F3.5-5.6 OIS PZ.
 

Apa komen anda?