iflix, unifi, TV biasa untuk tonton ‘copot’, Amri Yahyah & Liridon

Share Button

Selepas perjanjian bersama Telekom Malaysia Berhad (TM), kini sah Liga Bola Sepak Malaysia musim 2018 akan mempamerkan kelainan dengan semua perlawanan boleh ditonton secara online.

Sama ada Liga Super atau Liga Premier, semuanya boleh ditonton sama terus di skrin telefon atau tablet mahupun PC.

Terdapat dua penyedia perkhidmatan online yang dilantik iaitu TM dan iflix. Mengikut kaedahnya, sebanyak enam perlawanan akan disiarkan dengan TM dan iflix masing-masing membawakan secara eksklusif dalam platform masing-masing.

Namun menariknya, jika perlawanan tersebut disiarkan melalui TV tradisional seperti TV1, TV3 atau Astro, ia turut boleh ditonton melalui TM dan iflix bagi semua perlawanan. Ya, semua perlawanan ada dalam TM dan iflix.

Namun tidak semua perlawanan akan ditayangkan melalui TV tradisional.

Risiko hilang penonton di stadium? Ia bukan persoalan memandangkan menonton secara online adalah ‘to compliment’ apa yang ditawarkan di stadium.

Menonton di stadium masih ada aura paling kuat dalam mana-mana sukan. Menonton di stadium lebih ghairah berbanding di TV namun platform perlu diperluaskan agar konsep ‘bola sepak untuk semua’ itu terlaksana.

TM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) juga mengumumkan kolaborasinya bagi menaja Liga Malaysia.

Penajaan ini akan diwakili oleh unifi, jenama Konvergens utama di bawah TM, sebagai penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bersama bagi Piala FA bermula pada tahun ini sehingga tahun 2025.

Perjanjian selama 8 tahun ini membuktikan sokongan berterusan TM terhadap pembangunan bola sepak tempatan dan menaikkan mutu sukan di negara ini dan secara rasmi liga kini dikenali sebagai “unifi Liga Super Malaysia” dan piala tersebut dinamakan sebagai “unifi Piala Malaysia”.

Mengulas mengenai kerjasama ini, Dato’ Sri Shazalli Ramly, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, berkata, “Kami amat teruja untuk meneruskan kerjasama dengan pihak FMLLP dalam membangunkan sukan bola sepak tempatan dan membawa lebih banyak detik menarik dalam liga bola sepak negara, yang kini dikenali sebagai “unifi Liga Super Malaysia” kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Seluruh peminat bola sepak di Malaysia kini boleh menonton setiap perlawanan dalam liga ini dan menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi, kerana semua perlawanan akan disiarkan secara langsung melalui unifi TV dan menerusi kesemua skrin yang boleh diakses menerusi aplikasi unifi PlayTV.

Dengan termeterainya perjanjian ini, unifi akan menyatukan seluruh peminat sukan bola sepak tempatan melalui penyediaan akses menerusi unifi home, unifi mobile dan unifi wifi, bagi membolehkan tontonan kesemua perlawanan di unifi TV dan unifi PlayTV (kini tersedia di AppStore dan PlayStore).

Lebih penting lagi, ini bermakna unifi kini merupakan satu-satunya platform terbesar yang menayangkan setiap perlawanan bola sepak dan program-program khas lain melangkaui kesemua Pay TV, Free-To-Air (FTA), Over-the-Top (OTT) dan mudah alih, memberikan pengalaman penumpuan yang holistik.

Sebagai rakan kongsi siaran, unifi TV akan menayangkan kesemua acara dan perlawaan, termasuklah Piala Sumbangsih, Liga Super Malaysia, Piala Malaysia, Piala FA serta siaran bersyarat bagi perlawana Liga Perdana, Challenge Cup dan perlawanan-perlawanan lain yang dianjurkan oleh pihak FMLLP.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Pengerusi Football Malaysia LLP, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengulas, “Saya amat berbesar hati dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini, di mana ia merupakan yang terbesar dalam sejarah sukan di Malaysia, ini adalah bukti keyakinan TM terhadap sukan bola sepak dan liga Malaysia merupakan pemacu komersial dan perpaduan utama di negara ini.”

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia LLP, Kevin Ramalingam mengulas, “Komitmen jangka panjang TM ini merupakan satu gambaran yang mencerminkan nilai dan kemampuan Liga bola sepak Malaysia. Mereka sentiasa menjadi penyokong kuat sukan bola sepak Malaysia secara amnya. Kami amat berterima kasih kepada unifi, jenama yang akan mengemudi dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong pasukan kegemaran masing-masing”.

Apa komen anda?