Jangan selfie anak anda di sekolah

Share Button

Sesi persekolahan bermula minggu ini dan keghairahan ibu bapa yang pertama menghantar anak ke sekolah jelas terpancar dalam laporan berita akhbar dan berlegar di laman sosial.

Sudah pasti, berdozen gambar kanak-kanak berusia 7 tahun comel kelihatan di suapan Facebook atau Instagram masing-masing yang turut mengundang pelbagai komen, like dan sebagainya.

Tetapi ramai juga yang melakukan kesilapan dan lalai dengan perkara yang nampak remeh namun boleh membahayakan nyawa anak anda terutama si comel yang baru memulakan sesi persekolahan.

TheSkop huraikan sedikit di bawah sebagai panduan ringkas kepada ibu bapa muda di negara ini terutama yang kerap berada di media sosial:

1. Jangan ‘check in’ lokasi sekolah anak anda terlalu awal terutama murid darjah satu hingga tiga kerana penculik dengan mudah mengetahui lokasi dan murid pula masih lagi tidak berapa mengerti untuk mengenal orang luar. Cikgu pun masih baru mengenal murid tersebut dan keluarganya.

2. Jangan mengepos terlalu banyak selfie dengan anak-anak yang baru masuk sekolah. Maklumlah penculik akan mengetahui wajah anak anda dan menyalin foto dan menyimpannya. Mungkin akan digunakan ‘konon’ sebagai bukti saudara mara yang akan mengambil pulang anak anda dari sekolah.

3. Daripada ambil gambar selfie, lebih baik anda merapatkan ukhuwah dengan bertukar-tukar nombor telefon dengan guru-guru agar mereka mengenali anda dan anak anda secara lebih dekat. Ia sesuai bagi mengelakkan orang luar untuk menculik anak anda.

4. Nasihat anak anda supaya mendail nombor 1 (nombor anda yang telah disimpan lebih awal) sekiranya berlaku kecemasan. Ini sesuai untuk murid yang dibenarkan membawa telefon ke sekolah.

5. Jangan terlalu banyak memberi info dalam status anda di Facebook, Instagram atau Twitter. Contohnya, “lega anak saya dpt naik bas sekolah nombor plet sekian2 pd waktu pgi tepat pukul 7 sebb saya selalu outstation” atau “rindu kat anak yg tgh sekolah, saya pun balek lambat”. Lagi kurang info, lagi baik.

6. Kaburkan logo sekolah bagi mengelakkan lokasi sekolah anak diketahui.

7. Padamkan komen yang menunjukkan lokasi anak anda. Misalnya pada komen,”EH saya tahu sekolah mana ni, anak saya pun sekolah sini juga, dekat betul dengan bla bla bla” yang secara langsung menunjukkan dengan terang lokasi. Kita juga janganlah memberi komen demikian pada status orang lain.

Meskipun ada yang menganggap langkah ini terlalu mengada-ngada namun lebih baik mengambil langkah berhati-hati dari sesal di kemudian hari.

Apa komen anda?