Tangguh kerja antara ciri ketagihan internet, siapa yang ada ciri ini?

Isu globalisasi pada masa kini menitikberatkan hal-hal mengenai ketagihan Internet dalam kalangan golongan belia.

Ada dikalangan mereka yang mengalami kemurungan apabila tidak mempunyai peranti di hadapan mata. Ada juga yang terlalu tertekan dan tidak boleh menjalani kehidupan sebagai seorang remaja biasa. Jelas membuktikan bahawa Internet telah menjadi suatu keperluan dalam kehidupan harian mereka.

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2014 juga menunjukkan daripada 20.1 juta pengguna Internet di Malaysia, 59 peratus daripadanya adalah di bawah umur 30 tahun.

Purata masa yang dihabiskan oleh golongan belia di alam siber adalah di antara tiga hingga lima jam sehari. Kebanyakannya adalah untuk melayari laman media sosial – selain mendapatkan maklumat.

Hal ini sungguh membimbangkan kerana ia merupakan satu aspek yang perlu diberi perhatian. Lebih-lebih lagi, banyak laporan dan kajian mengakui bahawa terdapat individu-individu yang mengalami ketagihan Internet.

Menurut kajian yang dijalankan oleh www.netaddiction.com, sebuah laman web yang diasaskan oleh Dr. Kimberly Young, seorang pakar psikologi di St. Bonaventure University, New York mengenai ketagihan Internet mendapati bahawa terdapat lima kategori bahan kandungan dunia siber yang berisiko tinggi hingga menyebabkan ketagihan seperti berikut:

  1. Ketagihan seks siber – cenderung melawati laman web lucah;
  2. Ketagihan hubungan siber – keinginan yang kuat untuk berhubung melalui aplikasi percuma di peranti;
  3. Ketagihan maklumat – mudah dipengaruhi oleh laman-laman web yang berunsurkan hal ehwal semasa, pencarian maklumat dan pengkalan data;
  4. Ketagihan komputer – terpengaruh dengan peralatan teknologi perkomputeran, ciri-ciri komputer cip dan kad, sistem bunyi dan lain-lain; dan
  5. Ketagihan permainan komputer – mudah lalai akibat taksub bermain permainan komputer sehingga sukar berhenti.

Menyedari hakikat ini, pihak Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sentiasa berusaha untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna terutama sekali golongan belia dalam mengakses penggunaan Internet dengan menekankan kawalan kendiri terhadap pengguna Internet.

Tanda-tanda ketagihan internet.

Menurut Pengerusi Persidangan Persatuan Ketagihan Internet Antarabangsa (Isia) 2016 dan juga merupakan seorang pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr. Norharlina Bahar, tanda-tanda ketagihan Internet disifatkan sebagai kegagalan menjalankan rutin harian akibat daripada penggunaan Internet secara berlebihan.

Lazimnya, penggunaan Internet secara berlebihan dapat menganggu emosi seseorang. Antara lain, mereka juga sering mengalami hal-hal seperti berikut:

  1. Mudah terpengaruh dengan capaian maklumat di Internet;
  2. Meluangkan masa di Internet melebihi keperluan;
  3. Tahap penggunaan Internet meningkat dari semasa ke semasa;
  4. Mengutamakan keseronokan di alam maya berbanding bersosial di alam nyata; dan
  5. Sering menangguhkan urusan harian sama ada di tempat kerja mahupun di rumah.
%d bloggers like this: