[PREVIU] iPhone X, berbaloi atau sekadar ‘membesarkan kerak nasi’?

Share Button

iPhone X mula memasuki Malaysia hari ini [baca ini untuk harga] dan dikatakan iPhone yang paling berinovasi sejak kematian Steve Jobs.

TheSkop sudah memperolehnya dan jom kita lihat sedikit previu sebagai gambaran awal sekiranya ada yang berminat untuk membeli

Rekaan

Di kelilling iPhone X ini mempunyai rekaan aluminium dengan gelas di bahagian belakang. Gelas tersebut memantulkan sedikit bayang-bayang.

Mudah pegang dan ia mengingatkan kita kepada iPhone 4 tapi bukanlah bermakna iPhone X ini membelakangi teknologi dalam segmen rekaannya.

Harga

Tidak perlu diceritakan, ia bukanlah murah walaupun bagi negara yang menjadi tapak jenama ini iaitu Amerika Syarikat.

Kalau masih mahukan, tutup sebelah mata dan beli saja. Kalau rasa mahal, abaikan dan tidak perlu mengeluh kerana ini harga Apple.

Skrin

Pada saiz 5.8 inci, rekaannya lebih kecil berbanding iPhone 8 Plus. Tapi paparan OLED memang ada kelasnya tersendiri.

Ia kali pertama Apple menampilkan OLED pada skrinnya yang memperlihatkan paparan yang sangat cantik. Persoalannya, adakah ia akan digunapakai secara meluas selepas ini?

Face ID

Tanpa butang Home yang turut dijadikan pengimbas cap jari, Face ID menggantikannya. Menetapkan Face ID mudah saja.

Cuma ketika menggunakannya nanti, perlu sedikit masa. Tapi ia jelas lebih menjimatkan masa berbanding penggunaan pengimbas cap jari.

Kelajuan iPhone X

Menggunakan cip A11 Bionic. Ia mempunyai GPU pertama yang dibangunkan sendiri Apple dan ia perubahan sangat ketara berbanding A10 pada iPhone 7.

Tapi untuk dibandingkan dengan iPhone 8, cipnya memang sama.

Kamera

Seperti iPhone 8 Plus, terdapat dua lensa di belakang yang membolehkan fotografi Portrait Mode dengan mengaburkan latar belakang.

Tetapi berbanding iPhone 8 Plus, si X ini mempunyai apertur telefoto yang lebih besar. Ciri ringkas dalam kamera iPhone X bagaimanapun menghasilkan kualiti imej yang mengagumkan (saksikan reviu penuh untuk ini nanti).

Animoji

Ya, ia adalah ciri unik iPhone X yang tiada pada produk lain. Anda boleh merekod animasi emoji sehingga 10 saat.

Ia akan membaca pergerakan anda dengan kamera depan. Ciri AI membolehkan bacaan mimik wajah yang tepat.

Bateri

iPhone X hanya berkapasiti 2716mAh tetapi agak mengejutkan jika anda menggunakannya seawal 6 pagi, ia akan habis sepenuhnya pada pukul 10.45 malam dengan penggunaan yang aktif.

Cas tanpa wayar juga ditawarkan dengan peranti pihak ketiga dan tunggu reviu penuh kami untuk itu.

Apa komen anda?